Pages

Monday, April 9, 2018

MASYARAKAT SAMBUT BAIK CADANGAN RTC BANDAR JENGKA



Masyarakat sambut baik cadangan RTC Bandar Jengka




Pusat Transformasi luar bandar (RTC) yang bakal diwujudkan di Bandar Jengka merupakan berita gembira kepada 40,000 penduduk termasuk peneroka di 25 buah tanah rancangan Felda serta berpuluh buah kampung tradisional sekitarnya.

Kewujudan pusat tersebut bukan sahaja akan menjadikan Bandar Jengka lebih sibuk, malah akan merancakkan lagi ekonomi serta kegiatan harian penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Raazk ketika mengadakan lawatan kerja ke tanah rancangan Felda Jengka 11 baru-baru ini, mengumumkan sebuah pusat RTC akan diwujudkan di bangunan Warisan Jengka tidak lama lagi.

RTC itu menurut Perdana Menteri bagi memudahkan orang ramai di Jengka membuat pelbagai urusan setempat tanpa perlu ke tempat lain.

Bagi Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau, Mohd Fadzlie Mubin pengumuman Perdana Menteri itu sangat tepat pada masanya serta ia menjadikan teruja bagi penduduk Jengka dan sekitarnya.

“Telah lama pusat RTC ditunggu-tunggu penduduk kerana selama ini mereka terpaksa ke daerah Jerantut, Temerloh ataupun Maran untuk berurusan terutama bagi membayar bil-bil. Ini kerana sebahagian tanah rancangan Felda di Wilayah Jengka ini berada dalam daerah berkenaan.

“Jadi, bagi mereka di Felda dan di kampung-kampung tradisional yang berada di bawah pentadbiran seperti daerah Jerantut, Maran dan Temerloh akan menyelesaikan perkara berkaitan di jabatan dan pejabat daerah berkenaan yang jarak perjalanannya antara 60 hingga 80 kilometer.

“Dengan adanya pusat RTC di Bandar Jengka ini, ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malah menjimatkan perbelanjaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, pusat RTC itu juga bukan sahaja akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk, malah mendekatkan warga Jengka dengan dunia luar yang boleh berurusan dalam jangka masa singkat.


Bangunan Warisan Jengka sesuai

Pengerusi Kami Anak Felda (KAF), Mohamad Zamri Basri berkata, RTC merupakan momentum yang sangat baik untuk warga Felda kerana ia sudah lama wujud di bandar-bandar besar.

“Saya teruja dan amat gembira mendengar RTC akan diwujudkan di bandar ini. Memang wajar dan perlu ia diwujudkan kerana ia sangat diperlukan penduduk bagi menjalankan aktiviti berkaitan perbankan dan lesen. 

“Anak-anak muda yang pulang ke kampung tidak perlu risau urusan rasmi harian yang mana jika cuti balik kampung, mereka boleh uruskan pelbagai perkara pada hari cuti di Bandar Jengka,” katanya.

Peniaga, Nor Hayati Mohd Nawawi, 42, berkata, dia terpaksa ke Maran, Temerloh atau ke Jerantut untuk membayar bil-bil seperti cukai perniagaan, kenderaan atau lain-lain cukai kerana ada antara jabatan dan kementerian tidak ada cawangan di bandar ini.

“Mahu ataupun tidak terpaksa juga bayar bil. Tetapi dengan adanya RTC ini nanti ia akan memudahkan orang ramai kerana tidak perlu ke lain daerah sepertimana sekarang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Tuan Mohd Marzuki Tuan Mat, 39, berkata, bangunan warisan LKWJ sangat sesuai dijadikan pusat RTC itu kerana selain berada di tengah-tengah pusat bandar serta terdapat kemudahan petak kereta yang banyak.

“Lagipun kerajaan tidak perlu mengeluarkan peruntukan besar bagi membaik pulih kerana bangunan yang sedia ada itu masih tegap dan berkeadaan baik serta sesuai untuk pusat RTC.

“Apa pun saya berharap RTC ini dapat disegerakan dan jika boleh diwujudkan sebelum akhir tahun ini kerana ia sangat penting bagi penduduk Jengka dan sekitarnya,” katanya.

RTC merupakan satu projek di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berjaya membantu rakyat luar bandar memudahkan urusan seharian.

RTC Bandar Jengka asalnya dicadangkan di Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhadapan Masjid Sultan Ahmad Shah Bandar Pusat Jengka, namun ditukar kepada Bangunan Warisan Jengka.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor