
Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang bersedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras gejala rasuah melalui kakitangannya.
Ketua Jurutera Elektrik Negeri Pahang, Ir Ismail Hashim berkata, semua warga kerja cawangan itu diingatkan sentiasa menjalankan tugas dengan ikhlas, jujur, amanah dan berintegriti.
Menurutnya, tanpa komitmen itu, lafaz dan tandatangan ikrar bebas rasuah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang makna.
“Semangat integriti dan membenci rasuah perlu dipupuk dan dimulakan warga kerja JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik khasnya di Negeri Pahang.
“Pada masa sama, kesedaran itu boleh dipanjangkan kepada masyarakat yang hadir berurusan dengan JKR,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lafaz ikrar dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pahang, Jamaluddin Puteh.
Seramai 50 warga kerja Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Pahang terlibat pada IBR itu.
Sementara itu, Jamaluddin berkata, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Pahang menjadi cawangan pertama JKR Negeri Pahang melaksanakan IBR.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan usaha pencegahan rasuah oleh SPRM.
Pada majlis itu juga, turut diadakan sesi ceramah, taklimat mengenai IBR dan kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) serta tentang Sahabat SPRM disampaikan Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Pahang, Mohamad Hussain.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor