Pages

Sunday, April 1, 2018

[BENTONG] TERKEJUT ANAK JERIT BUNYI MELETUP



Terkejut anak jerit bunyi meletup




Sebuah keluarga di Kampung Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu, Bentong tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Mohd Isa Ibrahim, 69, berkata, dia reda dengan kejadian tersebut dan bersyukur kebakaran tersebut tidak meragut nyawa isteri, anak-anak dan cucunya yang ketika itu berada di rumah.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur akibat tidak berapa sihat dan tersedar apabila terdengar jeritan daripada seorang ahli keluarganya.

“Pakcik terjaga dari tidur bila terdengar suara anak menjerit mengatakan ada bunyi meletup dari ruang tengah bilik tidur dan pakcik terus arahkan semua anak dan cucu keluar dari rumah.

“Kejadian terlalu pantas... ada jiran cuba bantu padamkan api tetapi terlalu marak,” katanya ketika ditemui di rumah di sini, semalam.

Menurut Mohd Isa, semua barangan berharga gagal diselamatkan kerana api cepat merebak kerana keseluruhan rumahnya diperbuat dari kayu.

“Rumah tersebut pakcik duduki pada 1973 dan dibina oleh kerajaan negeri.. banyak kenangan tak dapat dilupakan kerana pakcik menetap di rumah tersebut sejak bujang lagi.

“Disebabkan banyak kenangan di rumah ini pakcik hanya buat ubahsuai sedikit sahaja iaitu pada bahagian bawah kerana sayang dengan kualiti rumah dibina oleh pihak kerajaan,” katanya.

Mohd Isa yang merupakan pesara Jabatan Bekalan Air bersama 10 ahli keluarganya kini terpaksa menumpang di bangunan Kumpulan Pengembangan Wanita tidak jauh dari kawasan berkenaan untuk sementara waktu.

“Pakcik ucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen, Dato' Sri Liow Tiong Lai, Jabatan Kebajikan Masyarakat, bomba dan agensi kerajaan lain serta penduduk kampung kerana banyak menolong dan prihatin terhadap perkara yang berlaku kepada kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.21 petang dan jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

“Ketika pihak bomba tiba, didapati api sedang marak dan kebakaran tersebut memusnahkan hampir 100 peratus rumah tersebut yang merupakan rumah separuh kekal.

“Tiada kemalangan jiwa yang terlibat dalam kebakaran ini kerana semua penghuninya berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kejadian berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor