Pendekatan turun padang pihak polis bersama masyarakat Orang Asli melalui sikap keterbukaan dalam semua hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang membantu mengurangkan kadar jenayah dan salah laku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, program yang julung kali diadakan bersama masyarakat Orang Asli sempena Hari Polis ke-211 itu bertujuan memperkenalkan pasukan polis secara dekat di hati masyarakat orang Asli serta peranan mereka dalam membantu menjaga keselamatan mereka.
“Kita hendak memperkenalkan polis kepada masyarakat pendalaman supaya masyarakat Orang Asli tahu yang polis sentiasa bersama masyarakat, di samping kita dapat memberi nasihat dan mendengar masalah dihadapi penduduk di sini.
“Kita buat program ini berdasarkan pengalaman saya kerana saya sendiri berasal di kawasan pendalaman. Dulu saya sudah bersekolah menengah baru dapat lihat logo polis. Pengalaman masa kecil itulah kita adakan program ini di perkampungan Orang Asli.
“Walaupun julung kali diadakan dengan kerjasama NGO dan pelbagai pihak, namun saya lihat kehadirannya amat memberangsangkan. Kita akan teruskan program ini di perkampungan orang Asli di daerah ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Pada Program bersama Orang Asli sempena Hari Polis ke 211 di Kampung Sungai Miak di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB), Datuk Jasvir Singh Ram Singh.
Sementara itu, Yusuf berkata, komuniti setempat disaran memberi kerjasama dan menyokong pihak polis dalam usaha membanteras jenayah, sekali gus mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.
Menurutnya, interaksi masyarakat bersama polis perlu dipertingkatkan dalam usaha membendung masalah berkenaan.
Bahkan, katanya, penurunan indeks jenayah bukanlah disebabkan komitmen anggota semata-mata sebaliknya sokongan serta kesedaran masyarakat bagi memastikan matlamat itu direalisasikan.
“Sekiranya masyarakat bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak polis sudah tentu kita mampu melakukan pencegahan di kawasan perumahan masing-masing
“Saya turut nasihatkan supaya anak-anak muda tidak terlibat dengan dadah dan jenayah. Bila kita dah ada rekod jenayah, nak minta kerja dan lesen-lesen pun susah kerana ada rekod dengan pihak polis,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor