Shah Alam - Notis pembubaran akan dikeluarkan terhadap Bersatu jika gagal menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam tempoh 30 hari, berkuatkuasa 28 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, meskipun keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi memberikan maklum balas, jabatan itu memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari.
“Oleh yang demikian, jika pihak Bersatu gagal menyerahkan maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang telah dikeluarkan menurut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan tersebut, tindakan susulan daripada RoS adalah mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran ke atas Bersatu.
“Notis tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Shahruddin Md Salleh.
Parti itu dikehendaki menjawab dan menyerahkan kepada RoS semua maklumat serta juga dokumen sepertimana yang dinyatakan di dalam Notis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, notis itu dikeluarkan berikutan aduan ahli Bersatu kepada RoS dan jabatan itu memerlukan maklumat tersebut bagi melengkapkan siasatan.
“Notis 14(2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti,” katanya.
Surayati menjelaskan, notis dikeluarkan itu adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa menurut Akta Pertubuhan.
November tahun lalu, RoS mendakwa Armada tidak terkandung dalam perlembagaan Bersatu dan pihaknya masih belum meluluskan pindaan perlembagaan parti itu yang ingin menggunakan istilah bagi pemuda mereka.
Pada bulan sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan mengemukakan laporan berkaitan penubuhan parti kepada RoS bagi mendapatkan maklum balas lebih terperinci mengenai desakan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan.
Pada 30 Disember tahun lalu, Bersatu mengadakan AGM bagi sebagai mengikuti tuntutan RoS seperti yang termaktub dalam Akta Pertubuhan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor