Pages

Wednesday, March 14, 2018

[KUANTAN] REDA DENGAN KETENTUAN ALLAH


Reda dengan ketentuan ALLAH




“Sebelum kejadian, arwah, Datuk Seri Seikh Muhamad Seikh Sadarudin, 60, ada menelefon pada sebelah petang bercerita tentang ombak besar di kawasan pantai berkenaan.

Demikian luahan, kakak mangsa lemas, Siti Zubaidah yang turut terkejut mendapat berita tentang kejadian yang menimpa adiknya yang ditemukan lemas selepas sampan yang dinaiki terbalik di Pantai Sungai Ular, kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, anak saudaranya yang turut sama, Hizaifah Ahmad, 38, terselamat daripada kejadian tersebut.

Siti Zubaidah berkata, mereka adik-beradik memang rapat dan saling berhubung bertanya khabar hampir setiap hari.

“Ketika arwah telefon dia hanya bercerita keadaannya di Kuantan, keadaan ombak yang besar dan kuat serta langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Cuma saya ada berpesan kalau keadaan yang tak mengizinkan... janganlah turun ke laut, bahaya.

“Namun dia tidak bercakap lanjut dan hanya bergurau dan berlawak seperti biasa... saya pun tidak tahu itu petanda dia nak pergi,” katanya kepada media, ketika ditemui Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Mangsa yang beralamat di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor dilaporkan menaiki sampan untuk ke tengah laut sambil ditolak dari pantai oleh anak saudaranya untuk meninjau pekerja mereka yang berada di atas tongkang di tengah laut.

Dalam pada itu, menurutnya, arwah yang merupakan anak kelima daripada 10 adik-beradik itu baharu sahaja ke sini, atas urusan kerja.

“Sebelum mendapat perkhabaran sedih itu, anak saya, Hizaifah, ada bersamanya dan menelefon memberitahu tentang kejadian menimpa mereka.

“Anak saya itu memanggilnya abah, dia sangat rapat malah sentiasa bersama... memberitahu saya bahawa arwah lemas ketika bersamanya untuk ke laut namun telah dijumpai," katanya.

Katanya lagi, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.

Jenazah dibawa pulang ke Klang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Gong.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor