Pages

Monday, March 26, 2018

[KUANTAN] KERANI RUGI RM200,000 DITIPU SINDIKET PEKERJAAN TIDAK WUJUD



 Mohd Wazir Mohd Yusof




Gara-gara teruja untuk bekerja di luar negara dengan tawaran gaji lumayan, seorang kerani berputih mata setelah kerugian sehingga RM200,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 52 tahun itu telah ditawarkan pekerjaan sebagai broker saham di United Kingdom (UK) oleh sindiket pekerjaan tidak wujud sejak April tahun lalu.

Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej suara melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki menawarkan peluang kerja di luar negara.

“Mangsa telah diminta berhubung dengan seorang lagi suspek jika dia berminat dengan pekerjaan tersebut.

“Sekitar Mei tahun lalu, mangsa sekali lagi menerima mesej dan kali ini suspek memperkenalkan diri sebagai Mr Allan dan sedia membantu mendapatkan pekerjaan tersebut.

“Disebabkan terpedaya, mangsa membayar wang yuran bagi menjadi seorang broker dan telah membuat pindahan wang pertama kali sebanyak RM4,312 ke satu akaun Maybank yang diberikan suspek bagi melunaskan hasrat tersebut,” katanya.

Modus operandi kali ini dengan menawarkan peluang pekerjaan di luar negara yang tidak wujud dengan jaminan pulangan yang menguntungkan sehingga memaksa mangsa memindahkan wang ke dalam akaun mereka.

Mohd Wazir berkata, bermula Mei sehingga Disember lalu mangsa sudah melakukan banyak transaksi atas permintaan Mr Allan ke dalam akaun Maybank sama.

“Suspek telah beberapa kali meminta mangsa memasukkan duit sehingga jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM200,000.

“Apabila ditanya mengenai pulangan, Mr Allan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

“Bagaimanapun mangsa telah beberapa kali cuba berhubung seorang lagi suspek tetapi gagal,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, setelah beberapa bulan merasakan tawaran tersebut tidak benar, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin dengan tujuan untuk mendapatkan wangnya kembali.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Masyarakat perlu mengenal pasti sesuatu tawaran dengan beberapa pihak untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan sindiket menawarkan pekerjaan tidak wujud,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor