Pages

Monday, March 19, 2018

[KUANTAN] DIA MEMANG SERONOK NAK TENGOK BOLA



Dia memang seronok nak tengok bola



“Sejak beberapa hari lalu hingga ke petang kelmarin memang arwah suami, Azmi Matt, 63, begitu teruja dan gembira nak pergi menonton perlawanan bola sepak antara Pahang dan Kedah, malam tadi" kata isterinya, Khairiah Harub, 43, yang masih sedih dengan kematian penyokong bola sepak itu, di Stadium Darul Makmur, di sini.

Khairiah berkata, ketika keluar dari rumah suaminya yang bekerja sebagai ‘runner’ Jabatan Hutan dan lebih dikenali sebagai Charlie tidak meninggalkan pesanan malah keadaannya baik.

“Arwah jarang sekali menonton bola sepak di stadium tetapi sejak beberapa minggu ini dia nampak berminat dan kali ini lebih teruja kerana walaupun dia berasal dari Gua Chempedak, Kedah tetapi tetap setia menyokong Pahang.

“Pada malam itu, walaupun dia teruja tetapi pergi agak lewat kerana dia memberitahu tiketnya itu di bahagian tempat duduk tertutup...jadi lebih selesa dan mudah keluar serta masuk.

Dia juga ada ajak kawan-kawan dan keluarga ke stadium.

“Sampai di stadium, dia memang ada menelefon saya bagi tahu dah masuk menonton dan harap saya tidak risau keadaannya...namun beberapa ketika kemudian saya diberitahu jiran bahawa suami pengsan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Seri Damai Perdana, di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, tanpa berfikir panjang dia bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) memandangkan anak-anak yang lain juga pergi menyaksikan perlawanan bola itu namun duduk berasingan dan tidak dapat dihubungi.

“Anak-anak tidak mendapat khabar tentang kejadian menimpa bapa mereka, hanya dapat dihubungi selepas tamat perlawanan.

“Doktor yang merawatnya memaklumkan arwah tidak dapat diselamatkan berikutan nadinya lemah ketika tiba di unit kecemasan.

“Doktor telah mengesahkan dia diserang sakit jantung dan berkemungkinan berpunca daripada stroke haba akibat berpanas sejak tengahari lagi,” katanya.

Khairih berkata, pemergian suami memberi kesan besar buat keluarganya kerana dia seorang suri rumah dan dua orang anak mereka masih bersekolah.

“Mungkin ini sudah ketentuan Allah SWT dan saya reda atas pemergiannya.

Selepas ini saya perlu memikirkan tentang anak-anak.

“Sebelum ini, saya ada berniaga secara atas talian secara kecil-kecilan tetapi semuanya bersama arwah.

Kalau boleh saya tidak mahu bergantung kepada bantuan orang semata-mata,” katanya.

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan pada pukul 10 pagi semalam, di Tanah Perkuburan Islam Batu 8.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor