KUALA LIPIS. 28 Febuari 2018 bersamaan 12 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah usaha membaikpulih jambatan gantung yang uzur di sini memberi makna besar kepada penduduk kampung terlibat.
Keadaan jambatan berkenaan mendapat perhatian baginda apabila video seorang bapa nekad membawa anaknya menggunakan jambatan berkenaan untuk ke sekolah tular di laman sosial tahun lalu.
“Pembinaan jambatan berkenaan amat penting untuk penduduk yang tinggal berdekatan sungai terutamanya Kampung Pamah Aur dan Kampung Briang di sini ekoran sering berdepan situasi sukar setiap kali berlaku banjir.
“Meskipun ia hanya sepanjang 80 meter dengan kelebaran 1.5 meter merentasi Sungai Tanum, ia diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat dan generasi akan datang.
“Perkara ini mungkin dilihat kecil, namun ia amat besar untuk manfaat rakyat dan pihak kerajaan perlu menitikberatkan perkara itu untuk kesan jangka panjang,” titah baginda pada majlis beramah mesra dan santapan/makan tengahari di Dewan Serbaguna Bukit Kota.
Terdahulu baginda turut berkesempatan mendengar taklimat projek pembinaan jambatan serta meninjau pembinaan jambatan berkenaan di Kampung Briang hari ini sempena lawatan kerja ke daerah Lipis selama dua hari.
Turut bersama mencemar duli, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Hj Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pembinaan jambatan baharu itu kini 73 peratus siap, dan menelan kos hampir setengah juta ringgit.
Baginda dalam pada itu bertitah agar jambatan-jambatan gantung lain yang menjadi jalan penghubung penduduk di Kuala Lipis diberi perhatian, diperbaiki dan diganti bagi kemudahan rakyat di kawasan terlibat.
Antara jambatan gantung yang turut mengalami nasib sama setiap kali banjir dan ada diantaranya tidak diselenggara iaitu di Kampung Rengai, Kampung Baru Penjom dan di Kampung Pagar yang merentasi Sungai Lipis.
Jambatan yang merentasi Sungai Jelai di Kampung Bertang dan perkampungan orang asli Kuala Koyan yang telah diganti namun jambatan lama yang rosak belum dirobohkan. Ia dibimbangi menjadi tular oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jambatan gantung lain yang menjadi perhatian ialah satu lagi di Kampung Pamah Air, Bukit Kota dan di Kampung Kuala Kechau yang merentasi Sungai Kechau, terletak di dalam DUN Cheka, Mukim Kuala Lipis.
Pada majlis yang sama di Dewan Sebaguna Bukit Kota, baginda menyampaikan kurniaan peribadi baginda dan juga sumbangan wang zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kepada golongan asnaf.
Selain sumbangan wang tunai, baginda turut mengurnikan lima buah kerusi roda kepada warga emas yang kurang upaya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor