Kementerian Pengangkutan menafikan dakwaan bahawa penerbangan MH370 mungkin diambil alih dari jauh dalam cubaan untuk menggagalkan rampasan pesawat Malaysia Airlines itu yang menghidupkan kembali satu daripada teori konspirasi berhubung kehilangan misteri berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak benar dan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai teori tidak berasas.
“Tuduhan sedemikian oleh Tun Dr Mahathir adalah tidak benar dan perkara ini pastinya akan memberi kesan dan mendatangkan tekanan kepada waris dan keluarga mangsa tragedi ini.
“Saya meminta orang ramai supaya tidak membuang sebarang spekulasi berkenaan tentang MH370. Kita patut meletakkan kepentingan dan perasaan waris agar tidak mereka tidak kecewa berdasarkan spekulasi-spekulasi ini dan saya berharap masyarakat dapat bersabar dengan pasukan pencarian kita,” katanya pada sidang media dalam Karnival MOT di Padang Tras di sini semalam.
Dalam pada itu, Tun Mahathir dalam satu wawancara dengan akhbar The Australian sebelum ini memberitahu pesawat itu mungkin dikawal dari jauh.
Beliau juga tidak percaya kerajaan terbabit dalam menyembunyikan kehilangan misteri pesawat itu tetapi beliau memberitahu akhbar The Australian dalam satu wawancara yang pesawat itu mungkin dikawal dari jauh.
Dalam pada itu, Tiong Lai berkata kerajaan sentiasa komited dalam misi pencarian MH370 dan pencarian kini diteruskan oleh Ocean Infinity untuk mencari bangkai pesawat.
Menurutnya, selagi tiada bukti kukuh daripada bangkai pesawat ataupun kotak hitam pesawat, adalah tidak wajar bagi sesiapa membuat kesimpulan berdasarkan teori konspirasi tidak berasas.
“Misi pencarian MH370 selama 90 hari itu, masih mengikut jadual Operasi pencarian di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan dua bulan dah pasukan pencarian berusaha bersungguh-sungguh dan kita harap penghujung bulan ini kita akan menerima respons positif daripada pasukan pencarian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor