Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang giat dilaksanakan di daerah ini bukan saja memberikan manfaat jangka panjang, malah memberikan kesan awal kepada penduduk setempat.
Ini dapat dilihat apabila jalan alternatif sedang giat dibina pemaju Taman Anggerik Heights bagi menghubungkan Ketari ke Benus melalui Taman Anggerik ke Jalan lama Bentong - Kuala Lumpur.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong (MBP), Dato' Muhammad Shahid Ismail berkata, laluan kira-kira dua kilometer itu dibina di atas tanah milik pemaju dan boleh digunakan penduduk setempat bermula pertengahan April ini.
Menurutnya, meskipun jarak laluan berkenaan tidak berapa jauh tetapi ia memberikan impak besar kepada masyarakat setempat.
“Apabila pihak yang membina landasan kereta api berkenaan mahu membina kuarters pekerja mereka di situ, kita mencadangkan mereka membina jalan alternatif ini, dan cadangan ini diterima baik.
“Jadi, pembinaan jalan ini akan memberikan manfaat kepada penduduk setempat, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan utama ke bandar Bentong yang berlaku setiap kali waktu puncak,” katanya.
Memandangkan laluan itu dibina di atas tanah milik pemaju, katanya, ia hanya dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 7 malam setiap hari.
Selepas masa itu, katanya, penduduk tidak boleh melalui jalan tersebut.
“Namun begitu, ia akan dapat memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah bagi mereka yang duduk di Benus dan ketari. Di jalan lama Bentong terdapat dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketari dan SMK Sulaiman.
“Malah, ia akan mempercepatkan perjalanan pelajar sekolah yang menaiki basikal dan motosikal untuk mereka ke sekolah, selain dapat menggunakan jalan ini apabila berlakunya kesesakan, khususnya semasa waktu cuti sekolah dan hujung minggu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, seorang penduduk yang tinggal di kawasan Benus, Mohd Faizzuldin Abdul Rashid, 34, berkata jalan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.
“Pada waktu pagi sekitar jam 6.30 pagi khususnya waktu kerja, jalan mulai sesak kerana masing masing ada yang ingin pergi kerja dan menghantar anak ke sekolah.
“Bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah di SMK Ketari dan SMK Sulaiman, ia akan memendekkan perjalanan mereka yang sebelum ini mereka perlu tempuh kesesakan lalu lintas dahulu. Selepas ini tidak lagi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Pozi Yahaya, 58, yang tinggal di Anggerik Heights berkata, dia yang tidak jauh dari jalan alternatif tersebut akan memudahkan dirinya untuk ke tempat kerja.
“Selepas ini saya tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas kerana saya boleh melalui jalan lama Bentong-Kuala Lumpur dan jalan tersebut tidak sesak pada waktu pagi, “katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor