Pages

Tuesday, February 27, 2018

SPRM CADANG PENUBUHAN BADAN BEBAS INDEKS RASUAH


Dzulkifli Ahmad



Putrajaya - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta rakyat tidak menilai kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang jatuh ke tangga 62 daripada 55 sebagai persepsi buruk terhadap badan itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, tidak wajar menilai SPRM daripada sudut persepsi masyarakat asing tetapi nilailah kami berdasarkan aktiviti yang telah dan akan kami laksanakan.

“Saya seru masyarakat semua jangan menilai kami daripada sudut persepsi masyarakat asing (Transparency International (TI) sebaliknya melihat kepada aktiviti yang SPRM jalankan selama ini.

“Kami di SPRM tidak terasa pun dengan situasi tersebut malah ia memberi kami semangat untuk jalankan tugas dengan lebih komited. Kejatuhan CPI kami anggap sebagai satu cabaran yang perlu ditangani bersama dan berharap rakyat mainkan peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SPRM di sini, semalam.

Katanya, SPRM turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan badan bebas bagi mengkaji indeks rasuah negara secara terperinci dan perkara itu telah dibincang dan dipersetujui dalam Lembaga Penasihat SPRM baru- baru ini. 

Katanya, indeks rasuah ini boleh dijalankan oleh mana-mana pihak ketiga yang ada kredibiliti seperti universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ada media salah faham. Bukan SPRM mahu jalankan siasatan indeks rasuah itu sendiri. Sudah tiba masa, negara kita mempunyai Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya.

Mengikut laporan indeks yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia berada di tangga ke-62 daripada 180 negara berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

Malaysia mencatatkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016.

“CPI adalah persepsi ekspatriat luar. Bukan persepsi masyarakat kita. Kita perlu lihat realiti dan bukan persepsi.

“SPRM melakukan yang terbaik walaupun ada kekangan pegawai dan bajet. Saya rasa tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan terbaik dilaksanakan bagi 2017,” katanya.

Dzulkifli berkata, laporan CPI itu tidak mematahkan semangat SPRM dan menganggap ia sebagai cabaran menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor