"Saya tetap menanti suara Abam (Muhammad Irfan Haziq Adnan) menyebut perkataan ‘ibu’, walaupun tak tahu berapa lama nak tunggu saat itu,” kata Masriyati Kassim, 39 yang berharap anaknya memanggilnya dengan nama itu.
Masriyati tidak menafikan dia dan suami, Adnan Mat Firu, 39, merindui suara Muhammad Irfan Haziq memecah kesunyian mereka di rumah.
Menurutnya, walaupun masih belum pasti mendengar suara anak tunggalnya itu, namun pasangan ini tabah menanti keajaiban daripada ALLAH SAW suatu masa nanti.
Bercerita lanjut mengenai anaknya itu, Masriyati berkata, Muhammad Irfan Haziq yang lebih mesra dengan panggilan Abam kini, 5, didiagnos menghidap autisme ketika berusia empat tahun dan mereka reda dengan kententuan-NYA.
“Saya sedar ada sesuatu yang tidak kena pada Abam apabila masih tidak boleh bertutur atau meniru percakapan saya terutama dalam menyebut beberapa patah perkataan menjelang usianya dua tahun berbanding kanak-kanak normal yang lain," katanya.
Katanya, bimbang dengan situasi itu, dia membawa Abam ke klinik pakar swasta dan selepas pemeriksaan awal dimaklumkan anaknya mungkin ada sindrom autisme.
Menurut Masriyati, doktor kemudiannya memberi surat rujukan untuk mendapatkan rawatan lanjut ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Saya akur dan selepas pelbagai pemeriksaan dilakukan selain terapi percakapan dan fisioterapi, doktor akhirnya mengesahkan Abam ada autisme,” katanya ketika ditemui di Yayasan Pahang di sini.
Dia yang juga kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Taman Gelora memberitahu, Abam kini bersekolah di Pra Integrasi Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih, manakala di sebelah petang dihantar ke Nasom Kuantan.
Sementara itu, suaminya, Adnan pula tidak pernah menganggap kehadiran Abam sebagai membebankan, sebaliknya anak itu adalah anugerah yang tiada nilainya.
“Ketika mula-mula Abam disahkan penghidap autisme, saya memang terkejut dan kehilangan kata-kata kerana kurang bersedia untuk terima hakikat itu, tetapi akhirnya saya sedar bahawa kami adalah golongan terpilih menerima ujian daripada-Nya.
“Kami akan lakukan apa sahaja dan yang terbaik untuk Abam. Kami mahu dia membesar dengan baik serta mampu berdikari suatu hari nanti,” katanya.
Pasangan itu juga tidak pernah malu memiliki anak istimewa itu malah berusaha untuk pendidikan Abam.
Walaupun memiliki rumah di Kampung Gelugur, Paya Bungor, Maran, pasangan itu hanya pulang pada Sabtu dan Ahad sahaja manakala pada hari bekerja mereka tinggal di rumah ibu Masriyati, Ambonsani Che Me, di Felda Panching Timur untuk memudahkan Abam bersekolah.
“Kami bergilir menghantar dan mengambil Abam di kedua-dua tempatnya belajar kerana hanya itu sahaja yang dapat membantu Abam bergaul dengan rakan lain dan belajar menyesuaikan diri dengan dunia sekelilingnya.
“Susah sikit tidak mengapa asalkan Abam dapat belajar dengan baik dan selepas dimasukkan ke sekolah bermula tahun ini, dia sudah boleh menyebut huruf A hingga Z dan angka 1 hingga 2,” katanya.
“Di rumah dia memang tidak bercakap dan lebih suka menggunakan ‘bahasa isyarat’ sendiri apabila hendak mendapatkan apa yang diingini seperti buka tudung saji jika hendak makan atau bawa botol susu untuk minum,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor