Pelakon terkenal, Norman Hakim akui hatinya begitu tersentuh tatkala berbicara mengenai al-Quran.
Saat dipanggil untuk turut serta memberi komitmen dalam program World #QuranHour, dia akui sangat terharu dan gembira.
“Saya berada di sini kerana gerak hati. Kalau diikutkan ketika ini, masa saya terbatas dengan aktiviti lakonan di Bangi . Tetapi ini saya anggap satu peluang keemasan yang perlu saya cari dan gali untuk bekalan akhirat nanti.
“Kisah 2009 dahulu membuatkan hati saya dekat dengan al-Quran, kitab suci itu menguatkan kehidupan saya kini,” katanya berkongsi kisah ketika ditemui pada taklimat World #QuranHour di Ibu Pejabat Utusan, semalam.
Mengimbau kisah dimaksudkan, menurut Norman, tahun itu merupakan tahun kejatuhannya namun ada peristiwa indah yang berlaku membuatkan dia terus terpaut dengan al-Quran dan mendalami agama secara menyeluruh.
“Peristiwa kejatuhan hidup saya itu membuatkan hati saya cair kepada al-Quran, dari situlah saya sedar segala penyelesaiannya ada dalam kitab suci itu.
“Hampir setiap hari saya menangis dan saya tumpang sejadah imam di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan untuk menjadi tempat saya mengadu kepada-NYA, saya cukup terasa.
“Pada ketika itu seorang hamba ALLAH datang kepada saya, dia tepuk dan bertanya kenapa saya menangis. Saya mengaku saya kecewa dengan hidup dan saya harap dapat jawapannya di sini,” ceritanya.
Selepas mendengar pengakuannya, lelaki berkenaan menitipkan satu ayat al-Quran untuk dijadikan amalan.
Waktu itu kata Norman dia segera menulis ayat al-Quran yang diberikan lelaki itu tetapi dia diminta mencari sendiri maksud dan isinya.
Sejak peristiwa itu, dia kini lebih dekat dengan agama dan membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
“Sebelum ini solat saya macam dipaksa tetapi kini jadi rindu bila tinggal solat sunat, rindu kalau tak baca al-Quran,” katanya.
Bagi Norman, perkongsiannya ini bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi agar lebih ramai mengambil iktibar mengenai kehebatan al-Quran.
Semalam, syarikat penerbitan media-media utama negara bersetuju menubuhkan Sekretariat World #QuranHour di tempat masing-masing.
Pembentukan sekretariat itu dicadangkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak pada sesi Taklimat Media World #QuranHour.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor