Pages

Thursday, January 4, 2018

[TEMERLOH] TAMAN ESPLANADE JADI TUMPUAN


Taman Esplanade jadi tumpuan



Taman Esplanade berhampiran Kuala Semantan bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat sendiri air Sungai Pahang yang meningkat naik tetapi turut menjadi tumpuan penggemar ikan sungai membeli ikan segar daripada nelayan tempatan.

Pelbagai spesies ikan air tawar dari Sungai Pahang boleh diperoleh di sini yang dijual secara longgok dan ditimbang mengikut harga pasaran terkini.

Nelayan sungai, Osman Abu Bakar, 67, berkata, ikan sungai seperti kerai, lampam, temoleh dan baung antara spesies yang berjaya dinaikkan dan dijual terus kepada orang ramai di Taman Esplanade di sini.

Menurutnya, kebiasaannya jarang sekali untuk mendapat tangkapan bersaiz besar tetapi apabila musim tengkujuh ikan bersaiz besar mudah ditangkap dengan menggunakan jaring bersaiz lima inci.

“Saya pasang jaring di Kuala Semantan, mudik sikit ke hulu kawasan air tenang. Pasang jaring di tepi-tepi tebing sebab biasanya ikan besar ini makan daun-daun di kawasan macam tu.

“Biasanya ikan macam ni memang susah ditangkap tapi bila musim tengkujuh arus sungai deras jadi mudahlah kami menangkapnya,” katanya.


Orang ramai datang melihat dan membeli ikan air tawar yang dijual.


Osman berkata, biasanya dia bersama beberapa nelayan lagi akan memasang jaring pada sebelah petang dan memeriksanya pada sebelah pagi.

Menurutnya, ikan yang berjaya ditangkap akan diletakkan di kawasan tumpuan ramai seperti Taman Esplanade dan beberapa rakan yang lain akan membantu urusan jualan kepada pelanggan.

Katanya yang lebih 20 tahun menjadi nelayan, spesies ikan yang menjadi pilihan ialah baung dan juga kerai kerana mempunyai kualiti tersendiri malah harga sekilogram kerai mencecah sehingga RM70 sekilogram.

“Jarang sangat dapat tangkapan banyak macam ini, jadi apabila hasil banyak macam ini akan membuka rezeki ramai nelayan macam kami,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor