Johor Bahru: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa tidak akan bertindak liberal dan membenarkan kebebasan bersuara seperti dijanjikan, sebaliknya akan kekal dengan jiwa sebagai diktator.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata beliau juga keliru dengan matlamat bekas pemimpin UMNO itu yang terus memperjuangkan kepentingan keluarga dan anaknya.
Katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir menggunakan pendekatan serampang dua mata iaitu 'memperkudakan' pembangkang dan Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan peribadinya.
"Saya keliru dengan bekas pemimpin UMNO ini (Dr Mahathir). Apa dia nak sebenarnya?
"Beliau akan guna pendekatan serampang dua mata dengan bersama pembangkang tetapi selepas Pilihan Raya Umum (PRU), dia akan kembali pada UMNO dengan syarat tertentu. Ini perangai Tun M yang biasa.
"Bolehkah harimau bintang padam bintik pada badannya? Tidak boleh kan. Dahulu siapa yang gunakan ISA... Operasi Lalang demi kepentingan dia?" katanya pada sidang media selepas menghadiri Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai di Kompleks Sukan Hospital Permai, Kempas, di sini semalam.
Nur Jazlan berkata, kepentingan Dr Mahathir sekarang hanya untuk memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dapat menduduki jawatan Perdana Menteri.
"Sama ada guna BN atau kenderaan parti pembangkang itulah matlamat akhirnya. Saya tidak percaya beliau bertindak liberal dan bagi kebebasan bersuara yang tidak sama dengan jiwa sebenar dia iaitu diktatorial," katanya.
Hari ini, BH melaporkan Dr Mahathir diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau sedang berunding supaya anaknya, Mukhriz, dapat bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum akan datang.
Bekas Naib Presiden Transparency International (IT), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berkata Dr Mahathir mesti menjawab dakwaan itu kerana ia jelas menunjukkan beliau tidak percayakan pakatan pembangkang yang diterajuinya.
Katanya, dakwaan itu juga jelas menunjukkan Dr Mahathir tidak percaya Mukhriz boleh memenangi pilihan raya jika bertanding atas tiket pembangkang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor