Pages

Monday, December 18, 2017

PERUBAHAN STATUS BAITULMAQDIS TIDAK SAH





Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempertimbangkan resolusi draf mendapati sebarang perubahan kepada status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, dan perlu dikekal seperti sebelum itu.

Mesir mengedarkan teks draf itu semalam, dan diplomat berkata, majlis akan mengundi berhubung langkah dicadangkan seawal esok.

Presiden Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember lalu yang mencetuskan bantahan dan kritikan keras.

Resolusi itu menekankan Baitulmaqdis ialah isu yang perlu diselesaikan menerusi rundingan dan meluahkan kekesalan mendalam terhadap keputusan mengenai Baitulmaqdis, tanpa menyebut tindakan Trump.

“Sebarang keputusan dan tindakan yang mengubah sifat, status atau kedudukan demografi Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, tidak sah dan terbatal dan perlu dibatalkan,” menurut draf.

Diplomat berkata, mereka menjangka AS akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang langkah itu, manakala kebanyakan 14 negara anggota majlis berkenaan dijangka menyokong resolusi itu.

Draf itu menggesa semua negara tidak membuka kedutaan di Baitulmaqdis, membayangkan kebimbangan kerajaan lain akan mengikut jejak AS.

Ia menuntut semua negara anggota tidak mengiktiraf sebarang tindakan yang bertentangan dengan resolusi PBB mengenai status bandar raya berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor