Senario Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah pun disingkap. Skrip pementasan adegan juga sudah diberi isyarat. Gendang perang PRU-14 sudah dipalu perasmi Mesyuarat Agung tiga sayap perjuangan UMNO - Wanita, Pemuda dan Puteri, malam kelmarin. Kelantangan ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas dan isi amanatnya tidak ditemani kekaburan.
Barisan Nasional (BN) mesti menang cemerlang. Bayangannya ialah ke tahap dua pertiga kerusi Dewan Rakyat. Beliau membuat gesaan supaya ketiga-tiga sayap bergerak cergas dan bijak memenangi hati pemilih. Sebetulnya ini adalah ucapan rangsangan ke arah pilihan raya nasional mendatang.
Petua pertama ialah berdiri teguh dengan bersepadu menyokong pimpinan Presiden parti. Lantaran itu Zahid membariskan sebahagian capaian Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti. Dibutirkan kembali sumbangsih melalui BR1M, pendidikan, kesihatan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat melebihi enam peratus dan pelbagai sumbangan dan khidmat sampingan lain demi kehidupan yang lebih menjamin.
Ahmad Zahid membuat pukulan terhadap sebuah parti pembangkang yang tampak jahil kerana tidak mematuhi undang-undang negara berkaitan perlembagaan pertubuhan. Asakannya bahawa parti itu bermesyuarat agung tetapi cawangan tidak bermesyuarat menimbulkan kesalahan perundangan yang aib apatah lagi, ujar Naib Presiden itu, presiden parti itu tidak muncul memimpin lantaran kena limbayung pengerusinya.
Tiup semangat juang ahli
Dengan suara dan intonasi meninggi kemudian menurun dan mendatar beliau berjaya meniupkan semangat juang membara bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Kini, mereka sudah terasa bahang pilihan raya yang kian dekat, cuma tarikhnya sahaja belum diketahui.
Ahmad Zahid melengkapkan pidato perasmiannya dengan ungkapan menggesa dan membimbing. Tangan yang menghayun buaian, ujarnya (dimaksudkan Wanita) harus juga membawa kejayaan di merata pelusuk tanah air. Pemuda dengan Briged Gempurnya diyakini menggempur kubu musuh dengan kegigihan sambil Puteri dengan Skuad Pedulinya boleh memperhebatkan lagi kaedah dan keterampilan dalam merayu sokongan.
Ahmad Zahid yang tampak lebih keterampilan kali ini berbanding tahun lalu, menunjukkan kesiagaannya menyampaikan ucapan melebihi satu jam penuh variasi perbandingan dan gesaan baharu. Dalam perspektif lain, daripada hal calon yang semestinya golongan yang boleh menang, disenangi dan jenis boleh diharapkan prestasinya. Bab ini mungkin elemen yang paling sukar bila saat akhir sampai. UMNO mesti sedia mewujudkan panel pemilihan calon yang tersendiri membabitkan sentimen tempatan, penilaian orang ramai, keterampilan dan potensi kesejahteraan memimpin. Salah pilih calon bermakna kekalahan. Kaedah ini dapat menghindarkan Presiden ditempelak golongan tertentu.
Gesaan supaya parti komponen mesti produktif mempunyai aliran fakta yang jelas. Kini MCA hanya ada tujuh kerusi Dewan Rakyat sementara MIC, empat. Data bagi parti komponen lain banyak memberi penghormatan kepada Sabah dan Sarawak. Justeru jika perkongsian secara menang-menang hendak diteruskan, BN selain UMNO di Semenanjung sewajarnya digegarkan lagi gerakan 'sentuhan tinggi' mereka seperti Wanita UMNO dikatakan mengamalkan pendekatan ini.
Ketiadaan atau kurangnya kegiatan semarak politik MCA, GERAKAN, MyPPP MIC setakat ini memang boleh dikhuatiri sebagai petanda yang kurang memuaskan ke arah kemenangan lebih tinggi.
Amat bertepatan bagi Ahmad Zahid melontar faktor peneguhan perjuangan UMNO. Isu tuntutan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Puteh yang ditumpulkan Perdana Menteri Singapura memperkasa perjuangan Pemuda yang kini menjuarakan semakan itu sebagai hak asasi kenegaraan Malaysia dan pandangan PM Singapura itu ditolak terus.
Penegasan bahawa Sabah dan Sarawak akan meninggalkan Persekutuan diibaratkan Ahmad Zahid sebagai pendirian 'muflis jiwa.' Ini ujarnya bukan kehendak pihak berwajib dua negeri itu. Membuat peringatan ini kena pada situasinya, kerana isu ini sudah diputar alam beberapa golongan 'muflis jiwa' itu.
Peringatan terhadap kemelayuan di bawah lembayung sejarah Melayu harus diberi sambutan positif. Perihal Sang Sapurba berjanji dengan Demang Lebar Daun tentang kesetiaan kepada raja dan bersikap adil serta jangan derhaka terhadap rakyat mencuit rasa kesetiaan dan kekitaan yang mendalam.
Kesetiaan kepada raja
Apatah lagi, dalam konteks kesetiaan kepada raja pada hari ini, Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu memang penting dihormati dan bertepatan supaya Melayu jangan terperangkap lagi dengan peranan si Kitol dan Bendahara Mandaliar bentuk baharu.
Penegasan tentang keselamatan dan ketahanan negara adalah jaminan kestabilan yang dituntut setiap warga. Mesej, kuat UMNO kuatlah benteng keselamatan negara boleh diterima baik, kerana keadaan politik stabil akan menjana kestabilan sosial dan politik.
Pandangan Ahmad Zahid sabitan pentingnya tamadun diteruskan sebagai bertapak kepada agama Islam menepati situasi kewajaran. Sekalipun beliau tidak mengepilkan istilah budaya tinggi, dapat difahami dan dirasionalkan kemudian bahawa budaya tinggi dan Islam bukanlah sesuatu yang tidak terupaya. Malah, melalui Islam budaya tinggi memang boleh dicapai asalkan aspek amali nilai murninya diupayakan.
Dengan gesaan supaya pemimpin dan ahli parti jangan khianat dan jaminannya turun padang bersama barisan selepas Perhimpunan Agung kali ini, suasana kerja keras dapat diketengahkan. Kini jentera penerangan dan kepilan semangat cawangan amat dahagakan isian baharu.
Gendang Perang UMNO/BN sudah dipalu Ahmad Zahid, Naib Presiden yang memangku kerja dan tugasan Timbalan Presiden UMNO. Dengan mengimbas pemikiran menang-menang berbanding suasana kelam kabut parti pembangkang diibaratkannya belayar di putaran air yang sama - UMNO sebagai tulang belakang BN mempunyai gegaran kejayaan meyakinkan.
Penulis adalah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor