Pages

Thursday, December 7, 2017

LORI KOMPAKTOR BARU UNTUK PULAU TIOMAN


Lori kompaktor baru untuk Pulau Tioman


Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) menerima sebuah lori kompaktor bagi menggantikan lori kompaktor lama yang rosak teruk sejak Mei 2016 dan sudah tidak boleh dibaiki lagi bagi mengangkut sampah di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Kerosakan itu disebabkan penggunaan yang sangat lasak di samping kos penyelenggaraan di pulau yang tinggi dan daya tahan atas keadaan di pulau selain aspek kelemahan penyelenggaraan kakitangan.

Sejak itu, pihak TDA terpaksa menyewa lori penduduk dengan kos sewaan yang tinggi iaitu RM350 sehari selain peningkatan dalam kos kerja lebih masa kakitangan membabitkan tambahan kos sebanyak RM23,500 sebulan sepanjang tempoh ketiadaan lori kompaktor berkenaan.

Pengurus Besar TDA, Khairur Rizal Ramli, berkata, sumbangan pihak kerajaan negeri sangat dihargai dan dinantikan oleh kakitangan TDA terutamanya staf yang terbabit dalam kerja-kerja kutipan serta pembuangan sampah di Tekek.

Beliau turut menzahirkan harapan dengan adanya lori kompaktor yang baru itu akan memudahkan segala usaha pembersihan dalam memastikan Pulau Tioman sentiasa bersih, ceria dan selamat.

"Menteri Besar Pahang selaku Pengerusi TDA dalam Mesyuarat Lembaga TDA pada 7 November tahun lalu telah bersetuju agar pihak TDA mengangkat permohonan kepada pihak Kerajaan Negeri melalui Pegawai Kewangan Negeri dan ia telah diluluskan pada 4 Ogos iaitu 17 hari selepas permohonan dibuat.

"Saya mewakili TDA mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya YAB Menteri Besar atas keprihatinan dan kelulusan pembelian sebuah lori kompaktor ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ringkas Penyerahan Lori Kompaktor oleh Kerajaan Negeri kepada TDA yang disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Chua Bon Ling di Tanjung Gemok, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Khairur Rizal menegaskan bahawa penggunaan lori kompaktor itu hanya terhad untuk sampah biasa dan bukannya barang lusuh yang tidak boleh dilupuskan menggunakan insinerator.

Menurutnya, barang lusuh seperti besi, barangan elektrik dan sebagainya masih perlu diangkut menggunakan tongkang ke tanah besar dan dilupuskan di tapak pelupusan Rompin.

Katanya, sampah-sampah dari kampung lain selain Kampung Tekek masih kekal diuruskan pengangkutannya ke Tekek menggunakan jalan air di bawah Kontrak Sistem Barges di antara pihak TDA dengan pihak JKKK setiap kampung.

"Keseluruhan kos TDA dalam melantik JKKK di bawah Sistem ini adalah sebanyak lebih kurang RM384,800 setahun.

"Kos ini ditampung dari pelbagai sumber hasil antaranya Kutipan Cukai Taksiran Am (CTA) yang dibayar penduduk dan pemilik premis dari tiga kampung di Pulau Tioman yang dianggarkan sebanyak RM397,000 setahun sahaja," katanya.

Beliau berharap agar penduduk dan pemilik premis membantu pihak TDA dalam memastikan Pulau Tioman kekal menjadi pulau yang bersih, cantik dan selamat.

"Buat masa ini lori kompaktor baru ditempatkan di Tanjung Gemok sementara menunggu jadual tongkang membawa masuk ke pulau dalam masa terdekat," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor