Pages

Wednesday, December 20, 2017

[LANCHANG] ANAK HIDAP KANSER, BOLA MATA TERSEMBUL


Anak hidap kanser, bola mata tersembul


Seorang pemandu lori berdepan dugaan paling getir dalam hidupnya apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser tisu sekaligus menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa mengharapkan ihsan ramai untuk mendapatkan bantuan.

Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, berasal dari Klang, kini tidak mempunyai punca pendapatan apabila terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak sulungnya itu.

Menurutnya, anak sulungnya Mohamad Arifuddin, 9, disahkan menghidap kanser sarcoma atau kanser tisu pada April lalu ketika membuat pemeriksaan susulan di Hospital Klang.

"Pada mulanya dalam Januari lalu doktor sahkan ada tumor di kepala anak saya tetapi selepas pemeriksaan susulan barulah dapat tahu dia menghidap kanser tisu.

"Saya perasan pada mulanya anak saya kerap mengadu sakit kepala, apabila doktor periksa dia disahkan kena kanser saya kerap ambil cuti dan kini terpaksa cuti tanpa gaji sejak Januari hingga sekarang.


"Sel kanser yang menyerang menyebabkan bola mata anak saya tersembul dan penglihatannya sudah tidak ada, mula-mula hanya satu mata sekarang dua-dua mata dah tak nampak," katanya ditemui di rumah bapa mentuanya di Felda Bukit Damar di sini.




Keadaan terkini Mohamad Arifudin yang menderita kanser tisu tahap empat.


Mohd Nor Hafis berkata, sebaik sahaja disahkan menghidap kanser, anak saya kemudian mendapatkan rawatan kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur sebanyak dua kali namun tidak ada perubahan.

Menurutnya, sel kanser memang cepat membiak, ketika disahkan menghidap kanser penyakitnya sudah berada di tahap empat.

"Apabila kimoterapi tidak memberi kesan, anak saya kemudian menjalani 20 kali rawatan radioterapi dan sehingga hari ini selepas lengkap semua prosedur rawatan anak saya masih tidak berubah.

"Sekarang saya banyak berikhtiar rawatan alternatif dengan berubat kampung dan lain-lain sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit dihidapinya.

"Memang kami akui perit ketika ini kerana saya dan isteri tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anak sulung yang sakit dan dua lagi anak yang masih kecil," katanya.

Mohf Nor Hafis berkata, dia kini hanya mengharapkan sumbangan dari orang ramai bagi menampung perbelanjaan sekeluarga terutama sekali mereka yang datang menziarahinya sekeluarga.

Menurutnya, ini adalah dugaan yang sangat besar baginya kerana anak sulungnya itu dalam sekelip mata berubah dari seorang yang sihat, aktif kepada langsung tidak bermaya.

"Masa dia sihat berat badannya 45 kilogram, tak sangka dalam tempoh hanya setahun fizikalnya berubah dengan amat ketara.

"Dulu dia mampu juga duduk atas kerusi roda, sekarang langsung tidak mampu, hanya baring sahaja setiap hari," katanya.

Mohd Nor Hafis berkata, dia dan isteri Norazlin Mohamad 28, berasa sedikit lega apabila Lembaga Zakat Selangor menyalurkan peruntukan RM250 sebulan bagi bayaran rumah sewa.

Katanya, selain itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu dengan menyediakan bantuan bulanan untuk anaknya itu.

Mohd Nor Hafis berkata, dia akan pulang ke rumah sewanya di Klang dalam tempoh beberapa hari lagi di alamat blok A-6-5 Pangsapuri Meru Impian, Jalan Hamzah Alang, Klang.

Menurutnya, kepada yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubunginya 01123112521 atau menyalurkan terus bantuan kewangan ke akaun Maybank 162843066209 atau akaun CIMB 7063363584.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor