Pages

Saturday, December 30, 2017

[KUANTAN] YAYASAN FELDA BANTU MURID


Yayasan Felda bantu murid


Yayasan Felda memperuntukkan RM1.87 juta sebagai bantuan persekolahan kepada 12,500 murid Tahun Satu di tanah rancangan Felda seluruh negara.

Pengerusinya, Dato' Sri Abdul Manan Ismail berkata, bantuan persekolahan di bawah program Jom ke Sekolah yang melibatkan 270 sekolah dalam Felda adalah bagi meringankan beban ditanggung ibu bapa menjelang sesi persekolahan.

Menurutnya, setiap murid menerima bantuan bernilai RM150 untuk membeli kelengkapan sekolah.

“Sumbangan ini adalah program wajib setiap tahun bagi membantu anak Felda.

“Melalui yayasan ini, kita sedaya upaya menjaga kebajikan anak-anak Felda terutama dalam pendidikan,” katanya kepada media pada program Jom ke Sekolah oleh Yayasan Felda peringkat Parlimen Paya Besar, semalam.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Felda, Mohd Banuri Aris dan Pengurus Besar Wilayah Kuantan, Hasrin Ismail.

Abdul Manan berkata, sebanyak 54 kawasan parlimen terlibat dalam program bantuan ini yang mana akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan bermula.

Katanya, seramai 1,579 murid Tahun Satu di Pahang terpilih menerima bantuan ini termasuk 607 daripada Parlimen Paya Besar.

“Setakat ini sebanyak 3,333 set kelengkapan diagihkan antaranya di Parlimen Kemaman, Besut, Segamat, Mersing dan Sik,” katanya.

Pada program itu juga, Abdul Manan menyampaikan insentif kepada peneroka yang selesai bayar pinjaman saham FGV berjumlah RM1,820 bagi peringkat Parlimen Paya Besar melibatkan 107 peneroka.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor