Pages

Saturday, December 2, 2017

[KUANTAN] TAK PERLU JADI ISU TUKAR NAMA SEKOLAH ST THOMAS


Tak perlu jadi isu tukar nama sekolah St Thomas


Pertukaran nama Sekolah St Thomas Kuantan, di sini, bagi sekolah menengah dan rendah tidak seharusnya dijadikan isu memandangkan keseluruhan pentadbiran sudah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan St Thomas, juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Baru, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad berkata, pembinaan sekolah di tapak baru nanti secara tidak langsung menggunakan nama baru.

Menurutnya, ia sekali gus menamatkan penantian warga sekolah itu untuk memiliki bangunan sendiri.

“Sepatutnya tidak perlu dibangkitkan mengenai nama memandangkan ia merupakan sebuah sekolah baru yang dibina bagi membantu untuk menampung jumlah pelajar di sekitar Kuantan yang semakin meningkat.

“Daripada segi pelajarnya tidak semestinya akan menempatkan pelajar asal Sekolah St Thomas sahaja dan pemindahan mereka bukanlah automatik. Kita akan memberi pilihan kepada mereka sama ada untuk terus ke sekolah berkenaan atau memilih sekolah lain.

“Manakala segi pentadbiran pula akan ditentukan oleh pihak kementerian memandangkan ia sudah menjadi sekolah yang lebih besar,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, terdapat juga cadangan bahawa nama sekolah St Thomas masih boleh dikekalkan sekiranya pentadbirannya berada semula di bawah pengurusan pihak Gereja St Thomas.

“Sebelum ini nama sekolah itu adalah mengikut nama pemilik tapak bangunan (gereja St Thomas) dan apabila ia berada di tapak baru, maka tidak salah kita menggunakan nama lain,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri telah meluluskan tapak baru seluas 12 hektar bagi kedua-dua buah sekolah di Kemunting, di sini melibatkan peruntukan sebanyak RM56 juta.

“Saya difahamkan pihak kementerian akan melantik kontraktor bagi melaksanakan pembinaan sekolah berkenaan pada tahun hadapan.

“Sebelum ini bagi murid sekolah rendah mereka telah ditempatkan untuk menumpang di SK Teruntum manakala pelajar sekolah menengah ditempatkan di SMK Sultan Abu Bakar sejak tiga tahun,” katanya.

Terdahulu, terdapat laporan akhbar menyiarkan bahawa sekolah itu akan diberikan nama ‘Mahkota Abdullah’ selepas ia dipindah ke bangunan baru hingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Sekolah St Thomas School dibuka pada 1950 oleh Reverend Father Louis Guittat di bawah arahan Marist Brothers.

Sekolah itu tersepit dalam pertelingkahan undang-undang antara Gereja St Thomas dan kerajaan negeri berkaitan tanah milik gereja seluas 2.4 hektar di Jalan Gambut.

Apabila kerajaan negeri menggugurkan kes dan tidak meneruskan pemerolehan tanah, sekolah rendah dan menengah perlu dipindahkan.

Terbaru, kerajaan negeri Pahang melalui Unit Perancang Ekonomi sudah memberi kelulusan kepada Kementerian Pendidikan untuk membina kompleks baru menempatkan kedua-dua sekolah.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor