Pages

Thursday, December 28, 2017

[KUANTAN] TAK MAMPU BEKERJA, SELEPAS KENA ANGIN AHMAR


Tak mampu bekerja, selepas kena angin ahmar


Seorang warga emas kini bergantung hidup dengan mengharapkan ihsan anak dan sumbangan orang ramai selepas terlantar akibat serangan angin ahmar sejak Oktober lalu.

Kehidupan Muhamad Abdul Wahab, 60, berubah sepenuhnya apabila anggota badannya sebelah kanan tidak mampu bergerak .

“Dulu pakcik kerja sebagai pengawal keselamatan di Damansara dan hasil pendapatan setiap bulan dapat menampung kehidupan kami lima beranak.

“Tapi sejak pakcik kena angin ahmar kehidupan kami sekeluarga jadi sukar, makan dan pakai ikut ihsan anak dan orang bagi saja.

“Setakat ni tak pernah lagi pakcik sekeluarga tak makan, sebab anak-anak ada bagi sedikit barangan keperluan bagi membolehkan kami isi perut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang di sini, semalam.

Muhamad berkata, isterinya, Sariah Mahmod, 51, juga tidak boleh bekerja kerana terpaksa menjaganya dan seorang lagi anaknya, Husin, 13, yang kurang upaya (OKU) cacat pada bahagian kaki.

Jelasnya, Husin perlu dijaga rapi memandangkan dia tidak boleh menguruskan dirinya sendiri.

Disebabkan kesempitan hidup yang dihadapinya, Muhamad mengakui seorang anaknya, Norshafihuddin, 15, tidak lagi bersekolah kerana terpaksa bekerja bagi menanggung keluarga

Selain itu, seorang lagi anaknya, Hasan, yang akan memasuki tingkatan satu beberapa hari lagi masih belum diuruskan kelengkapan persekolahannya.

“Pakcik tak uruskan apa-apa untuk persekolahan Hasan kerana tak mampu.. tapi mujur ada insan yang baik hati sudi uruskan pendaftaran dan membeli pakaian untuknya,” katanya.

Muhamad turut memaklumkan, dia tidak pernah menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak pernah memohon.

Bagaimanapun katanya, sewaktu Husin bersekolah, bantuan secara bulanan diberikan sekitar RM250, tetapi bantuan tersebut tidak lagi disalurkan.

Kepada yang ingin menderma boleh hubungi Muhamad di talian 011-39918723.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor