Dalam usia yang masih kecil, Che Wan Muhammad Rizki Che Wan Mohd Najib, 6, terpaksa melalui kesakitan apabila bahagian dalam hidungnya ditumbuhi lebihan isi yang berisiko menjadi kanser jika tidak dibuang.
Ibunya, Rosmaliana Alias, 39, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu sudah merasa tidak selesa pada bahagian hidung sejak lahir.
Bagaimanapun, pembedahan secara laser baru sahaja dilakukan pada bulan lalu dan akan disusuli dengan beberapa rawatan susulan.
“Akibat penyakit tersebut, tumbesarannya sedikit terjejas kerana kurang selera makan disebabkan keadaan hidungnya itu.
“Dia lebih banyak bernafas menggunakan mulut kerana hidungnya sering membengkak selain sering selesema,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Kerajaan Negeri di Pusat Khidmat Dun Sungai Lembing, kelmarin.
Hadir menyampaikan cek, Adun Sungai Lembing, Dato' Md Shohaimi Mohamed Shah.
Rosmaliana yang tinggal di Kuala Kenau berkata, anaknya itu turut sukar bertutur kerana sakit apabila bernafas.
Tambahnya, anaknya terpaksa bergantung pada susu khas bagi menambah tenaga selepas selera makanannya berkurangan.
“Tapi saya hanya beli susu tersebut apabila ada duit. Jika tak, saya akan pujuk dia supaya makan walaupun sedikit.
Lebih malang, Rosmaliana sendiri mengalami sakit saraf ekoran penyakit kencing manis yang dihidapinya tiga tahun lalu.
Katanya, buat masa ini, dia terpaksa mengambil cuti daripada kerja sebagai tukang cuci atas nasihat doktor.
“Buat masa ini keluarga banyak membantu dari segi kewangan bagi menampung keperluan saya bersama empat anak yang lain,” katanya.
Jelasnya, dia sudah membuat permohonan di Pusat Zakat namun sehingga kini tiada jawapan yang diterima.
Sementara itu, Md Shohaimi berkata, pada majlis itu, seramai sembilan penerima yang mengalami penyakit kronik menerima bantuan berjumlah RM2,000 seorang.
Katanya, sumbangan kerajaan negeri itu adalah bagi meringankan beban yang ditanggung seterusnya bagi menampung perbelanjaan untuk keperluan perubatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor