Kuala Lumpur: Kenyataan Anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang mendakwa Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein berbohong mengenai kem tentera yang sedang dibina di kawasan Sembrong di Johor, adalah tidak berasas dan berniat jahat.
Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Onn Hafiz Ghazi berkata Liew bukan sahaja memanipulasikan jawapan diberikan Menteri Pertahanan itu sebelum ini, tetapi juga mengeluarkan kenyataan bertujuan mengelirukan dan mengikis kepercayaan rakyat terhadap Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong.
"Jika perancangan pembinaan kem di Sembrong adalah berasaskan motif politik seperti yang didakwa Liew, sudah pastinya Datuk Seri Hishammuddin akan memastikan kem itu lengkap dan selesai dibina sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).
"Namun, perkara tersebut tidak berlaku sama sekali dan kem berkenaan kini masih di peringkat pembinaan dan tidak mungkin siap sebelum PRU-14," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam laporan portal semalam, Liew yang juga Pengerusi DAP Johor dilaporkan menuduh Hishammuddin berbohong apabila beliau menafikan sebuah kem tentera sedang dibina di kawasan Sembrong.
Menurut laporan itu, Liew juga mendakwa Barisan Nasional menggunakan kem tentera tersebut untuk meningkatkan jumlah pengundi pada PRU akan datang.
Jelas Onn Hafiz, segala usaha sudah lama dilakukan dan perancangan pembinaan dan penambahbaikan kem adalah berasaskan keperluan serta kepentingan keselamatan negara di bawah Kementerian Pertahanan.
Katanya, DAP dilihat cuba mengaitkan perancangan keselamatan dengan motif politik, dan tindakan keji itu hanyalah untuk meraih populariti murahan melalui politik kebencian dan keraguan.
Sebagai Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Onn Hafiz berkata beliau juga terbuka untuk menjawab sebarang pertanyaan Liew jika pihaknya mempunyai keraguan bagi mengakhiri prasangka yang tidak baik itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor