Pages

Saturday, December 16, 2017

[JERANTUT] BATIK ORKID ISTIMEWA


Batik orkid istimewa


Keunikan corak orkid yang dihasilkan pada kain batik bukan sahaja menjadi identiti tersendiri Syarikat Eco Craft & Design malah kebanggaan pengusahanya di Kampung Paya Garuk, Jerantut Feri, di sini.

Pengusahanya, Haziela Abdul Hamid, 42, berkata, produk batik tersebut diusahakan di Kuala Lumpur sebaik sahaja tamat tingkatan lima pada tahun 1994 sebelum mengambil keputusan berpindah ke Kampung Perias, di sini bersama suaminya.

“Pada 2001, perniagaan batik kami mendapat perhatian pimpinan setempat dan kami diminta berpindah ke pusat kraftangan di bandar ini dan beroperasi di situ sehingga 2015 namun sekali lagi berpindah selepas mendapat tapak lebih sesuai di Kampung Paya Garuk.

“Operasi di sini secara tidak langsung dapat membantu perkenalkan kampung ini sebagai antara lokasi pengeluaran batik yang boleh dijadikan sebagai daya tarikan pelancong tambahan pula kampung ini juga terletak antara laluan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan,” katanya.

Dijual hingga ke Texas

Haziela berkata, pada peringkat awal dia membekalkan batik keluaran syarikatnya kepada Pusat Kraf Karyaneka dan Batek Malaysia Berhad (BMB) untuk dipasarkan.

“Selepas BMB tutup, saya hanya fokus kepada penghantaran produk ke Pusat Kraf Karyaneka sehinggalah tiga tahun lalu, saya dapat tempahan dari sebuah syarikat penjual produk kraftangan Malaysia, Turtle Hand Batik di Texas, Amerika Syarikat (US).


Batik dihasilkan oleh Haziela lebih kepada motif corak bunga orkid.


“Pemilik Turtle Hand Batik, Tina Hilton bertemu dengan saya ketika pameran di pusat beli belah Kuantan Parade dan tertarik dengan pembuatan batik yang saya hasilkan.

“Sejak itu, dia menempah batik saya untuk dijual di tempatnya. Pelbagai jenis corak yang diminta terutamanya corak orkid. Ada juga minta saya lukiskan batik yang bercorak binatang antaranya cicak, katak dan gajah,” katanya.

Dia berkata, syarikatnya yang dibantu dua pekerja bagaimanapun turut membuat corak selain orkid sekiranya terdapat permintaan pelanggan.

Warna natural dapat perhatian Tengku Azizah

Bercerita tentang awal penglibatannya dalam bidang penghasilan batik, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, dia mempelajari seni pembuatan batik daripada suaminya.

“Pada awalnya saya bekerja di syarikat batik suami. Dari situ suami ajar macam-macam perkara berkaitan batik. Kemudian suami beralih kepada penulisan novel dan saya ambil alih perusahaan suami.

“Selain menghasilkan batik untuk dijadikan pakaian, beg, sarung kusyen dan lain-lain lagi, saya juga menghasilkan produk ikat dan warna (tie and die) dan mendapat tempahan dari syarikat pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan dan Genting Highlands,” katanya.


Lukisan batik tangan bercorak harimau dihasilkan Haziela ini dianggarkan bernilai lebih RM1,000.

Menurutnya, produk dihasilkan turut menarik minat Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sejak 15 tahun lalu dan kini turut menempah batik jenis yang diikat dan dicelup menggunakan warna natural.

“Pewarna natural ini lebih mahal berbanding pewarna biasa kerana ia menggunakan pewarna yang didapati dari tumbuh-tumbuhan asli seperti nangka, manggis dan merbau.

“Ada pewarna yang diambil dari daun, teras atau buah dan harganya juga bergantung kepada jenis pokok. Malah proses untuk menghasilkan warna itu juga agak rumit namun kualitinya lebih baik berbanding pewarna lain.

“Harga sepasang kain berukuran empat meter setengah yang menggunakan pewarna natural mencecah RM700 hingga RM1,500,” katanya.

Haziela berkata, syarikatnya juga turut menghasilkan lukisan batik tangan dan paling mahal dihasilkan adalah bercorak harimau dan orkid yang bernilai lebih RM1,000.

“Pasaran untuk lukisan agak kurang di negara kita justeru saya memilih penghasilan produk yang boleh diguna pakai kerana ia lebih mendapat pasaran,” katanya.

Impian bina bengkel, galeri

Bercerita tentang perancangan masa depannya, Haziela yang baru memulakan perusahaan di atas tapak rumahnya sendiri berharap dapat membina bengkel lebih luas dan selesa bagi meningkatkan lagi produktiviti.

Menurutnya, kediaman yang terletak di kawasan agak terpencil di antara laluan kebun getah juga menyukarkan tetamu yang berkunjung mahu melihat batik dihasilkannya.


Barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Jerantut Feri termasuk pengerusinya, Sabri Kamaludin (dua, kiri) turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke bengkel batik Haziela yang beroperasi di sebelah rumahnya.


“Cuma saya berharap dapat bina sebuah bengkel bersebelahan rumah dan permohonan bantuan sudah dilakukan namun sehingga kini masih tiada sebarang khabar baik dari pihak berwajib.

“Saya juga berharap pihak berwajib dapat bina jalan baru lebih selesa untuk ke rumah saya.

“Pada masa akan datang saya juga berhasrat untuk membuka sebuah galeri yang dilengkapi dengan sebuah kafe. Saya harap hasrat ini dapat menjadi kenyataan suatu masa nanti,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor