Jika remaja lain sedang sibuk menghabiskan baki cuti sekolah berseronok bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, namun tidak buat seorang remaja berusia 16 tahun yang menetap di Kampung Paya Teh, di sini.
Seharian masanya dihabiskan menguruskan rumah termasuk mengemas, memasak dan mencuci pakaian di samping menjaga ibu yang sedang sakit dan adiknya yang buta.
Remaja terbabit, Muhammad Azrul Zulkiflee, 16, terpaksa mengganti tugas ibunya sementara ayahnya, Zulkiflee Mohd Salleh, 47, dan abangnya Muhammad Izwan Zulkiflee, 17, keluar bekerja.
Ibu Muhammad Azrul, Salma Iznie Ab Samad, 38, tidak dapat bergerak kerana lumpuh separuh badannya akibat masalah saraf selain turut menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga.
“Saya tak dapat gerakkan kedua-dua kaki saya pada Jun tahun lepas sebelum doktor beritahu saya menghidap masalah saraf yang berpunca dari penyakit genetik dan dikatakan tidak boleh dipulihkan lagi,” katanya.
Bercerita tentang penyakit buah pinggang yang dihidapinya pula, Salma berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu sejak tahun 2000 selepas melahirkan anak sulungnya dan beberapa kali diserang masalah lumpuh.
“Satu hari masa nak bangun dari tidur, saya tak dapat gerakkan keseluruhan badan saya. Selepas dapatkan rawatan di hospital doktor beritahu ada masalah kekurangan potassium dan lepas dirawat, saya pulih.
“Selalu juga saya lumpuh sehingga doktor sahkan saya buah pinggang saya bermasalah dan lepas tu saya bergantung sepenuhnya dengan ubat yang dibekalkan hospital,” katanya.
Menurut Salma, penyakitnya itu mengakibatkannya mengalami penurunan berat badan yang ketara sehingga mencecah 26 kilogram berbanding 17 tahun lalu iaitu melebih 40 kilogram.
“Memandangkan saya tak dapat gerakkan kakinya, segala urusan rumah terpaksa diserahkan kepada Muhammad Azrul yang juga anak kedua dari tiga beradik.
“Saya perlu dapatkan rawatan di hospital tiga bulan sekali dan setiap kali itu jugalah Muhammad Azrul terpaksa ponteng sekolah untuk bantu saya menjada adiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Salam berkata, anak bongsunya Muhammad Azrie Zulkiflee, 11, mengalami cacat penglihatan sejak dilahirkan lagi.
“Selepas melahirkannya, doktor buat pemeriksaan MRI (pengimejan resonans magnetik) ke atasnya dan mendapati kedua-dua matanya tak ada bebola mata.
Muhammad Azrul (kiri) membantu menyuapkan makanan untuk adiknya, Muhammad Azrie (kanan).
“Muhammad Azrie juga tak dapat bertutur dengan jelas dan dikatakan tak gemar suasana sunyi selain tak suka meninggalkan tempat tidurnya atau bermain di luar,” katanya.
Salma berkata, tiada siapa yang boleh membantu menguruskan pengajian Muhammad Azrie seperti menghantar dan mengambilnya dari sekolah memandangkan suaminya bekerja sebagai buruh di sebuah kuari di Kampung Baharu, di sini.
“Saya juga tak dapat bawa dia dapatkan rawatan sebab kekangan dari segi pengangkutan. Jika ada yang sudi bantu hantarnya belajar dan dapatkan rawatan, saya berbesar hati menerimanya,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Azrul berkata, di musim cuti sekolah ini, rutin hariannya bermula dengan memandikan ibu dan adiknya dan kemudiannya mengemas rumah dan memasak.
“Biasanya waktu pagi saya akan ke sekolah dulu. Balik rumah saya bantu mandikan adik dan memasak. Saya juga akan suapkan adik makan sebab dia tak pandai makan sendiri.
“Biasanya abang Izwan akan bantu angkat ibu ke bilik air untuk dimandikan sebelum pergi kerja di sebuah kedai makan dengan pendapat-an RM30 sehari,” katanya.
Muhammad Azrul yang akan memasuki tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut bercita-cita mahu menjadi seorang chef suatu hari nanti sekali gus mahu mengubah nasib mereka sekeluarga.
“Sekarang saya sudah pandai masak bermacam jenis lauk yang diajar ibu. Ibu cuma beri arahan dan saya memasak di dapur,” katanya.
Mereka sekeluarga yang bergantung sepenuhnya pendapatan Zulkiflee sebanyak RM1,500 menetap di sebuah rumah kecil yang mempunyai satu bilik dengan kadar sewa RM150 sebulan namun dijangka meningkat kepada RM200 bermula tahun hadapan.
Salma dikatakan menerima bantuan am dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan manakala Muhammad Azrul menerima biasiswa sekolah dari Yayasan Pahang.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Salma Iznie Ab Samad (Bank Simpanan Nasional) 0610541000030222 atau hubungi talian 014-8087276
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor