Tugasnya sebagai penguat kuasa perhutanan menuntutnya mempunyai kemahiran mengendalikan motocross (motosikal lasak) di dalam keadaan bentuk muka yang berbukit-bukau.
Ini kerana, dia perlu mengawasi kawasan hutan dalam apa juga situasi bagi mengelak berlakunya pencerobohan.
Bagi anggota Unit Penguatkuasaan (UPK) Pahang Timur, Shaiful Nizam Abu Samah, 45, berkata, langkah baharu Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) mahu anggota penguat kuasa menggunakan motocross dalam melakukan pemantauan di kawasan hutan adalah perkara baru yang perlu dijalankan.
Penggunaan jentera dua roda ini juga lebih efisien pada waktu-waktu tertentu, terutama untuk operasi dan rondaan yang lebih pantas dan juga ia mampu melalui kawasan yang sukar dilalui kenderaan pacuan empat roda jabatan berkenaan.
Timba banyak pengalaman
Shaiful Nizam ditemui Sinar Harian ketika menjalani kursus selama tiga hari teknik pengendalian menunggang motocross dengan betul.
“Banyak pengalaman di terima sepanjang berkursus terutama membabitkan teknik tunggangan naik dan turun bukit, aspek keselamatan, pembaikan kerosakan dan sebagainya.
“Jika kita gagal mengawal motocross dengan betul, ia akan mengundang kejadian tidak diingini seperti terjatuh, cedera dan sebagainya,” katanya.
Shaiful Nizam terjatuh apabila gagal mengawal motocross ketika menaiki bukit.
Shaiful Nizam berkata, sepanjang kursus yang dijalankan, dia terjatuh sebanyak dua kali ketika menaiki bukit.
Katanya, pengalaman itu banyak mengajarnya cara mengawal jentera dengan betul terutama dalam keadaan jalan yang tidak rata serta berbukit.
“Kecergasan dan kekuatan mental juga penting pada individu yang terbabit melakukan rondaan menggunakan motocross terutama apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran serta rintangan,” katanya.
Beliau berkata, selain latihan mendaki dan menuruni bukit berbatu, anggota juga turut berhadapan ujian melalui jalan berlumpur sejauh kira-kira 400 meter serta menunggang dalam hujan.
Shaiful Nizam berkata, kursus julung kali diadakan itu diharap dapat memberi kemahiran dan pengalaman kepada peserta yang bertanggungjawab melakukan pemantauan terhadap aktiviti pencerobohan hutan di negeri ini.
“JPN sentiasa meningkat usaha mengesan kegiatan pencerobohan hutan di negeri ini. Sebagai anggota penguat kuasa, saya perlu lebih berani berdepan dengan pelbagai kemungkinan ketika bertugas.
“Tugas kami sememangnya bahaya kerana kemungkinan berdepan ancaman daripada pihak-pihak yang melakukan kesalahan seperti pencerobohan hutan seperti penebangan balak secara haram, perlombongan, kecurian kayu gaharu dan sebagainya,” katanya.
Perlu tahu semua aspek tentang motocross
Shaiful Nizam berkata, cabaran sepanjang kursus adalah apabila terpaksa menunggang motocross di laluan bekas kawasan pembalakan yang berbukit.
“Itu cabaran paling sukar untuk mengendalikan motocross yang ditunggang. Saya juga perlu tahu cara baiki kerosakan kecil seperti menukar tayar yang pancit dan sebagainya.
Peserta turut diberi pendedahan membaiki kerosakan kecil motocross
“Bagaimana pun, saya teruja untuk memulakan tugasan baru ini dengan sebaik mungkin dalam memastikan hasrat jabatan yang serius menangani kegiatan pencerobohan hutan,” katanya.
Terdahulu JPN Pahang termasuk 15 anggota UPK jabatan berkenaan telah menyertai kursus pengendalian motocross di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, minggu lalu.
Kursus kali pertama diadakan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kakitangan JPNP terhadap teknik menunggang motocross di dalam hutan yang dikendalikan jurulatih profesional, Ayub Basri.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor