Bayan Lepas: Tabung Haji (TH) dijangka akan menanggung subsidi haji hampir RM400 juta bagi musim 2018, susulan kenaikan kos serta pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Arab Saudi, mulai tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kos haji dijangka meningkat seiring caj GST lima peratus yang bakal diperkenalkan kerajaan Arab Saudi itu.
Katanya, peningkatan kos itu akan menyebabkan kos sebenar haji naik kepada RM22,450 seorang dengan hanya RM9,980 dibiayai jemaah, manakala RM12,470 ditanggung menerusi sistem subsidi.
"Perbincangan mengenainya sudah dilakukan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kerajaan Persekutuan memuktamadkan keputusan mengekalkan tambang jemaah pada kadar RM9,980 seorang, dengan TH dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta.
"Perdana Menteri sendiri meletakkan kepercayaan kepada TH untuk mencari sumber mencukupi untuk memastikan pertambahan nilai kos haji ini akan dimasukkan dalam kadar subsidi dinikmati setiap jemaah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-34, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, di sini, semalam.
Muzakarah yang disertai 500 ilmuan agama terdiri daripada perwakilan Nadwah Urusan Haji Asia Tenggara (NUHAT) dari Turki, Kemboja, Filipina, Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura itu akan membentangkan lima kertas kerja berkaitan ibadah haji.
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir menegaskan, beliau bersedia berhadapan tindakan undang-undang yang mahu dikemukakan peguam, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim.
"Tak mengapa, dia nak saman, saya terima sahaja," katanya.
Terdahulu, Siti Kasim dalam status di laman Facebook peribadinya menegaskan, akan mengemukakan tindakan undang-undang ke atas Jamil Khir kerana mengaitkan beliau dengan pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam.
Semalam, Jamil Khir menegaskan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sudah membuka kertas siasatan dan memanggil Siti Kasim ekoran tindakannya yang kerap mengeluarkan kenyataan atau melakukan perbuatan menghina serta mengelirukan mengenai Islam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor