Bayi lelaki yang ditemui masih bertali pusat di pondok bas di Lebu, Bentong dekat sini pada Ahad lalu dinamakan Muhammad Al Ameen.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato' Shahaniza Shamsuddin berkata bayi seberat 2.8 kilogram itu dilaporkan berkeadaan sihat.
“Bagaimanapun Al Ameen masih di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk pemantauan doktor dan akan ditempatkan di sebuah institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaik dibenarkan keluar," katanya semasa dihubungi di sini, semalam.
Ahad lalu, penduduk Kampung RTP Lebu menemui bayi malang itu dalam keadaan kesejukan dan hanya berbalut kain batik yang dibasahi darah, dipercayai ditinggalkan beberapa jam sebelum ditemui pada 7 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Zainudin Abdul Hamid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi itu.
Sementara itu, Pengarah JKM negeri Zulkhairi Zainal Abidin berkata jabatannya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang berhasrat mengambil bayi itu sebagai anak angkat, termasuk daripada mereka di luar Pahang.
“Bagaimanapun kami memaklumkan, bahawa bayi itu berada bawah pemantauan doktor dan ibu bapa kandungnya masih mempunyai masa untuk menuntut. Jika tiada, baharulah JKM akan membuka proses pengangkatan,” katanya sambil menambah mereka yang berhasrat menjaga bayi itu perlu melalui prosedur yang ditetapkan JKM.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor