Pages

Thursday, November 30, 2017

[ROMPIN] TARIK PENGUNJUNG DENGAN PERSEMBAHAN API


Tarik pengunjung dengan persembahan api


Bagi menarik kehadiran pengunjung ke Taman Hiburan, seorang anak muda mengambil inisiatif membuat persembahan orang api di pantai yang terletak berhampiran Bandar Kuala Rompin itu.

Berasal dari Felda Selendang 1, Muhammad Assanizam Abdul Asik, 27, memilih membuat persembahan unik dan berbahaya itu selepas mendapat kerjasama daripada kumpulan D’Kukur Buskers.

Selain menghiburkan pengunjung, inisiatif itu diambilnya bagi mewujudkan tarikan di pantai rekreasi itu yang selama ini seakan kosong tanpa sebarang aktiviti.

“Sebelum ini sudah ada inisiatif beberapa peniaga dan kumpulan buskers menjadikan pantai ini lebih meriah bermula Jumaat hingga Ahad, kehadiran saya pula melengkapkan lagi usaha menarik kehadiran pengunjung ke sini.

“Persembahan pertama saya hujung minggu baru-baru ini juga mendapat sambutan yang amat baik, ini baru permulaan dan saya akan perbaiki mana yang patut agar pengunjung terhibur,” katanya,

Bergantung kepada kelapangan, dia yang juga dikenali sebagai badut dengan nama Mat Jeng Jeng De Clown masih tiada jadual tetap untuk membuat persembahan.

Katanya, jika ada kerja luar seperti tempahan khidmat badut bagi majlis tertentu, maka persembahan orang api tidak dapat dilakukan pada hari berkenaan.

“Jika saya tiada urusan pada hujung minggu, memang saya akan buat persembahan di Pantai Hiburan, jika ramai kanak-kanak saya akan jadi badut.

“Kalau ada permintaan ramai yang mahukan persembahan orang api baru saya akan buat, maklumlah persembahan permainan api ini tak selalu ada dan jarang orang dapat tengok,” katanya.

Bagaimanapun, dia turut mengakui persembahan di kawasan pantai ada risiko iaitu pada waktu angin kuat.

“Kalau tiada angin...persembahan akan lebih baik selain kurang risiko kerana api boleh dikawal tanpa tiupan angin yang kuat.

“Untuk nampak lebih cantik sebenarnya elok buat persembahan pada waktu malam dan lebih mantap jika ada dilakukan secara berkumpulan dengan tema red indian,” katanya yang masih mencari dan sanggup melatih sesiapa berminat menjadi orang api.

Sebagai anak jati Rompin, dia turut menzahirkan keyakinan dengan segala usaha konsisten oleh semua pihak terlibat termasuk dirinya, Pantai Hiburan mampu setanding pantai peranginan lain.

“Saya tidak mengenakan sebarang bayaran untuk persembahan api ini, cukuplah sekadar pengunjung meletakkan wang dalam bekas disediakan, jika ramai pengunjung memberi maka banyaklah hasilnya...bertambah semangat saya untuk membuat persembahan pada lain hari,” katanya.

Berkongsi kisah lahirnya minat menjadi orang api, Muhammad Assanizam berkata, beberapa tahun lalu dia melihat budak berusia 14 tahun membuat persembahan api di Kuala Lumpur.

Ketika itu, dia merasakan jika budak dengan usia semuda itu mampu melakukannya, kenapa tidak bagi orang dewasa sepertinya.

“Jadi saya keluar modal untuk barang-barang dan kelengkapan, saya belajar kemahiran bermain api ini dengan seorang guru.

“Pelbagai kemahiran persembahan seperti makan api, semburan api dan kayu berapi saya pelajari, setiap performer ada kelebihan serta tidak semestinya mahir semua kemahiran,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor