Pages

Thursday, November 23, 2017

[LIPIS] POLIS CARI KELUARGA WANITA MENINGGAL DUNIA


Polis cari keluarga wanita meninggal dunia di rumah


Polis sedang mengesan ahli keluarga atau waris kepada seorang wanita berketurunan Cina-Asli yang meninggal dunia di sebuah rumah di Jalan Batu Kurap di sini pada 15 November lalu.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, mayat Lai Yet Ling atau nama Islamnya Nur Atirah Abdullah, 27, yang meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis dan belum dituntut.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, wanita terbabit telah dijaga dan dibesarkan oleh sebuah keluarga Cina di Taman Raub Jaya 6, Jalan Teras, Raub namun jiran berhampiran memaklumkan keluarga berkenaan telah berpindah ke Johor.

"Kita juga cuba mengesan keluarga angkat tersebut melalui nombor telefon yang diberikan jiran itu namun gagal dijawab," katanya.

Beliau berkata, Yet Ling telah disahkan memeluk agama Islam pada 5 Oktober lalu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Lipis dan menukar namanya kepada Nur Atirah sebelum meninggal dunia sebulan kemudian.

"Yet Ling tidak sempat menukar nama Islam pada kad pengenalannya namun siasatan serta rujukan yang dibuat di PAID Lipis dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) cawangan Lipis mengesahkan mangsa telah memeluk Islam bulan lalu.

"Kita berharap agar keluarga angkat atau waris wanita ini dapat tampil ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk menuntut mayat atau boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di talian 093122222,"katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor