Pages

Wednesday, November 15, 2017

[LIPIS] BINA 180 BUAH RUMAH BAHARU UNTUK MANGSA KEBAKARAN


 Bina 180 buah rumah baharu untuk mangsa kebakaran


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memperuntukkan RM7.82 juta bagi membina 180 buah rumah baharu untuk mangsa kebakaran di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejak tahun 2012 hingga kini.

Ketua Cawangan Program Kesihatan dan Kesedaran Awam JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Nik Zulkifli Ibrahim berkata, untuk tahun ini pihaknya telah membina 42 buah rumah dengan kos keseluruhan RM1.75 juta.

Menurutnya, pihak jabatan bomba juga melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah terpilih melibatkan kos sebanyak RM689,000.

"Jadi kedua-dua kos membina dan membaik pulih rumah mencecah RM2.3 juta untuk tahun ini. Di Pahang pula kita telah membina 13 buah rumah sejak 2012 dan untuk tahun ini kita ada sebuah lagi projek membina semula di Lanchang yang akan disiapkan sebelum hujung tahun ini.

"JBPM sentiasa komited untuk membantu membina lebih banyak rumah untuk mangsa kebakaran dengan setiap rumah dianggar menelan belanja antaraRM40,000 hingga RM50,000 berkeluasan 79.8 meter persegi (860 kaki persegi) yang dibina dalam tempoh dua bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah Projek Pembinaan Semula Rumah di bawah program NBOS kepada Md Nasaruddin Md Razali, 66, di Kampung Chat, Benta, di sini, semalam.

Hadir merasmikan majlis berkenaan Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri merangkap Adun Benta, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Sementara itu, Mohd Soffi berkata, program NBOS yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membuktikan kejayaan menerusi pembinaan semula rumah mangsa yang terbabit dengan musibah kebakaran.

"Walaupun diawal pelaksanaan program NBOS ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun kini semua masalah itu telah berjaya dihadapi dan program ini berjaya memberi banyak manfaat dan meringankan beban rakyat melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

"Ini juga jelas membuktikan NBOS mempunyai masa depan cerah dan berdaya maju dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Sementara itu Md Nasaruddin berkata, penantian dia bersama tiga ahli keluarga untuk mendiami rumah yang lebih selesa kini tercapai setelah rumah pusaka yang mereka diami sebelum ini musnah dalam kejadian kebakaran 10 September tahun lalu.

"Kejadian kebakaran tu berlaku dua hari sebelum raya haji tahun lepas yang menyebabkan saya, mak, Piah Abd Rahman, 83, dan dua anak saudara Nurul Shahira Rosli, 17 serta Mohamad Nor Amirul Rosli, 14, tinggal sehelai sepinggang.

"Lepas kejadian tu kami terpaksa berpindah randah sebanyak empat kali dan menumpang di rumah saudara mara. Kini semua telah berakhir dan kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik serta selesa," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor