Pages

Friday, November 10, 2017

[KUANTAN] TRAUMA KEJADIAN BANJIR 2014


Trauma kejadian banjir 2014


Kejadian banjir termasuk banjir besar yang melanda daerah ini masih segar dalam ingatan penduduk yang pernah menjadi mangsa.

Tidak terkecuali penduduk yang tinggal di kawasan Sungai Isap di sini yang pernah menjadi ‘lubuk’ ekoran banjir besar 2014 lalu.

Pengalaman berada di pusat pemindahan hampir seminggu membuatkan mereka terus trauma setiap kali menjelang musim tengkujuh.


Keadaan parit yang sudah dinaiktarafkan dalam usaha melancarkan lagi sistem saliran terutama ketika berhadapan dengan hujan lebat dan luar biasa yang boleh mengakibatkan banjir.


Rata-rata penduduk di kawasan itu masih dapat membayangkan keadaan dan situasi getir yang pernah dilalui.

Walaupun bencana banjir tidak dapat dihalang secara mutlak tetapi persiapan dan persediaan perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Hasil tinjauan Sinar Harian di kawasan itu semalam mendapati, rata-rata penduduk akui mula bimbang dan berharap kejadian banjir tidak berlaku lagi.

Ambil langkah berjaga-jaga

Seorang suri rumah, Yasmawati Yusop, 47, berkata, setiap kali masuk bulan Disember, dia sudah tidak lena tidur lebih-lebih lagi sekiranya hujan lebat agak lama.

“Walaupun projek menaik taraf longkang dan parit di sini dilaksanakan, perasaan bimbang tetap ada... saya tetap risau kerana sudah menghadapi masalah perparitan sekian lama... bukan di kampung ini sahaja, malah ia turut berkait dengan kampung berdekatan.

“Jika hujan lebat hampir sepanjang malam tidur tak lena kerana berjaga-jaga bimbang rumah dinaiki air, ada kalanya terjaga jam 2 atau 3 pagi saya intai air di longkang dan ia bukan berlaku kepada saya sahaja malah jiran tetangga juga.

“Biasanya dalam tempoh sebegini saya sudah mula berkira-kira untuk buat persiapan walaupun langit nampak cerah... saya simpan segala dokumen dan barang penting dan berharga ke tempat lebih selamat,” katanya.



Dalam pada itu, bagi peniaga, Kharimah Ab Hamid, 48, persiapan untuk menghadapi banjir tahun ini akan dilakukan lebih awal kerana dia tidak lagi sanggup menghadapi lagi situasi getir dilanda bencana tersebut terutama membabitkan banyak kemusnahan.

“Masuk sahaja bulan Disember saya dah mula mengemas dokumen-dokumen dan barangan berharga walaupun tidak ada tanda-tanda akan banjir sebab rasa bimbang itu masih ada.

“Longkang, benteng, atau parit yang ada tidak menjamin sepenuhnya untuk mengelak berlakunya banjir, kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku... lagipun kita sudah ada pengalaman di mana banjir besar berlaku di sini berpunca daripada benteng pecah.

“Namun kebelakangan ini, kebimbangan banjir tidak perlu lagi ditunggu pada musim tengkujuh tapi bila-bila masa sahaja boleh berlaku kerana masalah perparitan yang ada kalanya gagal menampung air hujan hingga menyebabkan banjir kilat mudah berlaku,” katanya.
Langkah pemberitahuan persediaan banjir

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gugusan Sungai Isap, Abdul Mubin Abdul Rahim berkata, risalah dan pemberitahuan mengenai persediaan banjir dan langkah yang patut diambil akan diedarkan sebagai langkah awal bermula pertengahan bulan November ini.

“Memang kita sudah atur pelbagai perkara sekiranya berlaku lagi banjir besar bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kita juga akan bermesyuarat lagi bersama Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah untuk mendapatkan perkembangan terkini.

“Kita akan pastikan kelancaran strategi termasuk perpindahan penduduk, penyediaan makanan di pusat pemindahan, memastikan sistem perparitan dan sungai dibersihkan, pam-pam air elektrik diselenggara dan memastikan masih berfungsi dengan baik dan sebagainya agar berjalan dengan lancar.


Rumah pam yang disediakan dan digunakan ketika musim tengkujuh.


“JKKK yakin berpandukan pengalaman lalu... insya-ALLAH bencana yang berlaku dapat kita atasi dengan lebih baik memandangkan rata-rata penduduk sudah mula bersedia dari awal memandangkan mereka sudah fobia dan trauma untuk menghadapinya dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, kira-kira 20,000 penduduk di Gugusan Sungai Isap, hanya perlu mengikut arahan perpindahan sekiranya diarahkan dan selebihnya diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menguruskannya.

“Pusat-pusat pemindahan bagi penduduk di gugusan ini seperti Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ching, Tanah Putih dan Sekolah Kebangsaan Sungai Isap Murni (sekiranya tidak serius),” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor