Pages

Tuesday, November 28, 2017

[KUANTAN] PAHANG RAIH KUTIPAN RM10.3 JUTA JUAL PLAT 'VIP'


Pahang raih kutipan RM10.3 juta jual plat ‘VIP’


Pahang meraih kutipan sebanyak RM10.3 juta hasil penjualan plat kenderaan khas ‘VIP’ melibatkan 1,903 nombor yang terjual setakat ini.

Nombor pendaftaran khas tersebut ditawarkan kepada orang ramai sempena sambutan Tahun Melawat Pahang 2017.

Exco Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Samsudin berkata, jumlah tersebut adalah nilai kasar sebelum ditolak kos pengendalian dan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Projek ini adalah inisiatif bersama pihak swasta menerusi Digital Tourism Sdn.Bhd bagi membantu negeri ini menjayakan kempen TMP2017 dan sebahagian besar program promosi dan publisiti di luar negara dibiayai melalui projek ini,"katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan penggulungan Bajet 2018 di Sidang Dun, Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.

Dalam pada itu,Sharkar turut memberitahu, kerajaan negeri memperkenalkan program "Revisit Pahang 2018" selepas kejayaan Pahang meraih pendapatan berjumlah RM7.48 bilion sehingga September lalu hasil penganjuran TMP2017.

Menurutnya, pelancaran program 'Revisit Pahang 2018' itu akan diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Kita akan putuskan kemudian tarikh untuk pelancaran 'Revisit Pahang 2018'... mungkin hujung tahun ini atau awal tahun depan. Tujuan kita untuk meneruskan program ini adalah bagi memastikan momentum kedatangan pelancong ke Pahang dikekalkan.

"Kalau kita lihat kepada pencapaian TMP17, memang tidak dapat dinafikan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini meningkat hampir dua kali ganda iaitu kira-kira 13 juta pelancong untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding 9.3 juta pelancong bagi tempoh sama tahun 2016," katanya.

Jelasnya, kejayaan TMP2017 itu berkat hasil kerjasama baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat serta disokong agensi berkaitan.

Katanya, selain perolehan daripada kedatangan pelancong ke 20 lokasi pelancongan menarik di Pahang,strategi menganjurkan 57 acara menarik sepanjang tahun ini juga dilihat sebagai pencetus kepada peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini.

"Antara acara yang mendapat sambutan baik daripada pengunjung (pelancong) ialah pertandingan memancing Cabaran Royal Billfish di Rompin, Kuantan Century Ride di bandar Kuantan, Pahang Bike Week di Taman Gelora, Kuantan, Pertandingan Mengenal Burung (Bird Race) di Bukit Fraser, Raub dan bulan depan, kita ada Pertandingan Luncur Air di Pantai Cherating, di sini.

"Semua ini berjaya menarik peserta dari dalam dan luar negara dan sudah pasti menyumbang kepada ekonomi penduduk setempat," katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor