Pages

Sunday, November 19, 2017

[KERAYONG] PEKA KENAIKAN PARAS AIR


Peka kenaikan paras air


Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Triang terutama Kampung Paya Pagar diminta terus peka dengan kenaikan air sungai demi keselamatan ahli keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jang Nong Chik berkata, sejak kelmarin, bacaan paras air di Sungai Triang mencecah paras amaran, namun dalam trend mendatar.

“Sehingga jam 3.00 petang semalam, bacaan air Sungai Triang ialah 34.11 meter berbanding bacaan normal, 33.80 meter. Kalau air Sungai Triang naik, automatik kawasan Taman Awam Majlis Daerah Bera (MDB) akan dilimpah air anak sungai berdekatan dan ia normal bagi penduduk di sini.

“Tapi, saya minta penduduk berdekatan supaya berwaspada selalu. Kita cuba mengelak sebarang kemalangan berlaku semasa musim tengkujuh ini,” katanya.

Menurut Jang, setakat ini, tiada lagi limpahan air sungai di laluan Jalan Temerloh-Bahau, namun dikhuatiri berlaku pada bila-bila masa memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Nelayan darat juga disarankan mengutamakan keselamatan sekiranya berhasrat memasang jaring atau menjaring di kawasan-kawasan yang dinaiki air. Selalunya, kalau ada kawasan dinaiki air seperti di Taman Awam ini, ada saja orang ambil peluang untuk menjaring ikan.

“Kita tidak menghalang, sebab mereka nak cari rezeki tambahan. Asalkan mereka mengutamakan keselamatan, dengan memaklumkan kepada ahli keluarga sebagai langkah keselamatan mereka sendiri,” katanya.

Jang berkata, kadangkala kanak-kanak turut teruja melihat keadaan air itu justeru, ibu bapa diminta memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor