Kota Kinabalu: Pemuda Barisan Nasional (BN) meminta rakyat terutama golongan belia di Sabah supaya tidak termakan dengan pembohongan dan harapan palsu Parti Warisan Sabah (Warisan) yang kononnya mahu membawa perubahan kepada negeri itu.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, parti pembangkang baharu itu tidak boleh mengatasi kebolehan BN dalam memberi perubahan dan menjaga kebajikan rakyat termasuk golongan belia.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyeru golongan belia di Sabah supaya berfikiran rasional untuk terus berada di belakang kerajaan bagi menyokong segala usaha pembangunan.
"Apa yang Warisan dapat memberi kepada orang muda adalah harapan palsu, bahawa mereka akan hamparkan janji-janji manis demi mencapai matlamat mereka.
"Tetapi perubahan yang kita sebut ini sedang berlaku (di bawah Kerajaan BN) dan kita telah melihat bagaimana perubahan ini sedang dilaksanakan bukan hanya sahaja projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah tetapi juga dari sudut pengumuman belanjawan tahun depan yang mana Sabah menerima peruntukkan besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diadakan di Dewan Tapak Warisan Monsopiad, Penampang, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai potensi Warisan yang didakwa menerima sokongan kuat daripada golongan anak muda terutamanya dalam kalangan suku kaum Kadazan Dusun Murut, di negeri ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, Kerajaan BN berada di landasan yang betul dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
"Komitmen kita dari segi naik taraf kemudahan asas, naik taraf sekolah-sekolah luar bandar dan penyelarasn harga barang bukan janji manis tetapi merupakan komitmen Kerajaan BN," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor