Pages

Saturday, November 11, 2017

[BERA] DAFTAR KELAHIRAN AWAL UNTUK ELAK MASALAH MYKAD


Daftar kelahiran awal untuk elak masalah MyKad


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang menyarankan orang ramai mendaftar Sijil Kelahiran anak-anak mereka pada usia bayi bagi mengelak permasalahan dalam memproses MyKad pada usia 12 tahun.

Pengarahnya, Juzilawati Kamarudin berkata, masih ramai ibubapa yang memandang remeh perkara ini menyebabkan anak mereka tidak dapat mendaftar persekolahan dan tercicir dari segi pelajaran.

Menurutnya, walaupun ibubapa mempunyai masalah seperti ketiadaan sijil nikah atau tinggal di kawasan pendalaman, mereka perlu berusaha menastikan anak mereka memiliki Sijil Kelahiran.

"Tidak dinafikan ada kes kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, dan melalui siasatan kita, banyak yang berpunca sikap sambil lewa daripada ibubapa atau penjaga mereka sendiri.

"Kalau mereka menghadapi masalah sekali pun berkaitan kelahiran bayi atau pun perkahwinan, mereka mesti memohon untuk pendaftaran anak mereka. Daftar dahulu dengan JPN, masalah yang lain boleh diselesaikan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Gantian MyKad kepada Warga Emas, di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang (RKWESR), semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatn, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman dan Pengasas RKWESR, Yap Yoke Moey.

Seramai 47 orang penghuni RKWESR menerima MyKad baharu yang telah siap diproses bermula 6 November lalu.

Juzilawati berkata, sejak Januari hingga semalam, sebanyak 505 keping MyKad yang diganti baharu termasuk jumlah yang diterima penghuni di sini.

Katanya, JPN Mobil ini bergerak ke lokasi tertentu termasuk kawasan pendalaman dan perkampungan Orang Asli untuk program khidmat bakti kepada masyarakat bagi memudahkan mereka melakukan permohonan pendaftaran.

"Setakat ini, sebanyak 80 program khidmat bakti telah dijalankan di seluruh negeri Pahang. JPN akan bekerjasama dengan jabatan atau agensi tertentu di kawasan terbabit bagi memastikan program seperti ini dapat dilaksanakan lebih lancar.

"Saya berharap, masyarakat lebih sedar mengenai kepentingan permohonan pendaftaran pada usia bayi untuk mengelakkan kesulitan pada masa hadapan," kata beliau.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor