Pages

Sunday, November 12, 2017

[BENTONG] BAYI DIBALUTI KAIN BATIK DIJUMPAI DI HENTIAN BAS


Bayi dibaluti kain batik dijumpai di hentian bas


Seorang bayi lelaki baru dilahirkan yang dibaluti sehelai kain batik dibasahi darah ditemui di tempat duduk hentian bas Kampung RTP Lebu, di sini awal pagi tadi.

Bayi masih bertali pusat itu dipercayai terpaksa ditinggalkan lebih empat jam sebelum ditemui penduduk kampung yang keluar untuk bersarapan di kedai pada kira-kira jam 7 pagi.

Seorang penduduk, Kamariah Mansor, 64, yang membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan berkata, semasa ditemui bayi berkenaan terbaring kesejukan kerana hanya dibalut dengan kain batik yang dibasahi darah.

"Semasa ditemui bayi lelaki itu dalam keadaan mengeletar. Apabila saya angkat dan peluk dia terus mengeliat dan berbunyi perlahan macam anak kucing, seperti ucap terima kasih kepada saya,"katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung RTP Lebu di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dan suaminya, Samsudin Lebar yang merupakan Ketua Kampung RTP Lebu bersama beberapa anggota polis kemudiannya membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Mempaga untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, bayi seberat 2.8 kilogram itu mempunyai kesan gigitan semut di dahi dan dagu namun berada dalam keadaan sihat.

"Semasa dibawa ke klinik, bayi berkenaan tak menangis dan hanya menangis dengan kuat selepas doktor potong tali pusatnya di Klinik Kesihatan Bentong," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Zainudin Abdul Hamid berkata, bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan siasatan masih giat dilakukan.

"Pada masa ini kita masih menyiasat bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab. Kita berharap sesiapa yang mempunyai maklumat dapat menyalurkannya kepada pihak polis," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor