Kepala Batas - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan lebih RM10 juta bagi membantu golongan petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri akuakultur di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung hampir 5,700 pengusaha pertanian di negeri ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, dalam segmen tanaman, seramai 460 petani sayur dan buah terjejas disebabkan banjir besar itu melibatkan kawasan tanaman seluas 600 hektar.
‘‘Bagi segmen padi dan beras pula, hampir 10,900 hektar kawasan sawah melibatkan lebih 4,800 pesawah terjejas.
‘‘Bagi meringankan beban pesawah, kementerian menyediakan RM9.7 juta untuk bantuan penanaman semula padi kepada pesawah di negeri ini namun bergantung kepada penilaian kerosakan,’’ katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan pesawah di Institut Pertanian Bumbung Lima, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Zainal Dahlan.
Dalam majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan bantuan awal RM200 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 kepada pesawah terjejas di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
Jelasnya, biarpun bantuan itu sepatutnya dibayar tahun hadapan, namun kerajaan prihatin dengan nasib mangsa banjir dan pihaknya membuat pembayaran awal kepada mangsa terlibat.
Ahmad Shabery menambah, untuk segmen perikanan pula, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM50,000 sebagai bantuan ihsan awal kepada lebih 110 nelayan terjejas melibatkan kerosakan rumah, jeti, pontoon dan peralatan yang dijangka menerima bantuan akhir bulan ini.
‘‘Bagi akuakultur pula, lebih 160 penternak melibatkan 3,500 sangkar dan kolam terjejas. Jabatan Perikanan akan membuat penilaian kerosakan serta mengagihkan bantuan input ternakan seperti benih dan makanan ikan serta kerja-kerja pembaikan dengan nilai bantuan sebanyak RM500,000 yang dijangka disalurkan awal tahun depan,’’ ujarnya.
Kata Ahmad Shabery lagi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri juga telah membantu penternak memindahkan ternakan mereka ke tempat selamat dan dianggarkan lebih 90 penternak terjejas dengan banjir itu dan sebanyak RM50,000 diagihkan sebagai bantuan awal.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor