Pages

Friday, October 6, 2017

TUN M MENGAKU PERNAH PERSETANKAN DAP



KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaku beliau merupakan orang yang pernah”mempersetankan DAP” dalam politik.

“Sayalah orangnya yang mempersetankan DAP. Dalam politik jika kita nak kalahkan musuh, kita terpaksa memburukan imej musuh. DAP adalah musuh parti saya dan saya sendiri,” katanya dalam blognya semalam.

Pengerusi PPBM dilapor berkata demikian sebagai mengulas berhubung ramai orang Melayu percaya dakwaan bahawa parti rasis dan cauvinis DAP akan memerintah Malaysia, malah Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah.

Malah, katanya, ada dalam kalangan mereka yang menganggap beliau sudah mengkhianati Melayu apabila bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

Katanya, pendekatan mempersetankan DAP yang beliau ambil sebelum ini amat berkesan sehingga orang Melayu sekarang ini tidak boleh menerima parti itu dan sesiapa sahaja yang mendampinginya.

“Hari ini saya sendiri yang mendampingi DAP. Maka pada ramai orang UMNO terutamanya, saya sudah khianati mereka.

“Saya tidak akan berbuat demikian jika DAP benar-benar syaitan. Sebelum saya ramai juga pemimpin tertinggi Melayu yang bekerjasama, bahkan menyokong DAP. Di antara mereka ialah Tunku Abdul Rahman, (Bapa Kemerdekaan) dan Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar Ibrahim juga bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

“Pemimpin Pas, Hadi Awang biasa berpeluk Kit Siang dan berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pada PRU 12 dan 13. Pas menang besar apabila disokong oleh orang Cina DAP,” menurut laporan itu lagi.

Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu juga dilapor berkata, perjuangan politik mereka menjadi sama dan berpendapat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih penting daripada sengketa antara mereka.

Mahathir turut berkata, pengundi Cina kurang dari pengundi Melayu tetapi Melayu berpecah kepada empat parti iaitu UMNO, PKR, AMANAH dan PPBM.

Beliau berkata, majoriti wakil rakyat, jika Pakatan Harapan menang akan terdiri daripada orang Melayu dan ramai daripadanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak akan menyerahkan keputusan kepada DAP untuk memilih Perdana Menteri.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor