Pages

Thursday, October 26, 2017

PENERIMA DARJAH KEBESARAN TAMPIL BANTU RAKYAT PAHANG


Penerima darjah kebesaran tampil bantu rakyat Pahang


Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah supaya individu yang menerima darjah kebesaran daripada negeri ini termasuk golongan artis tampil membantu rakyat Pahang yang ditimpa musibah.

Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang, bertitah mereka yang berkeupayaan termasuk penerima darjah kebesaran dari negeri ini tampil membantu mengurangkan beban ditanggung rakyat negeri ini yang ditimpa bencana dan musibah.

"Saya hendak sarankan kepada mereka yang berkeupayaan supaya tampil membantu khususnya yang baharu dapat dato' kelmarin (sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang) khususnya artis-artis dan orang perseorangan.

“Bukan bantu di sini sahaja (merujuk kepada kejadian ribut yang menjejaskan kediaman 166 keluarga di Mentakab pada Isnin lalu) tetapi di seluruh Pahang apabila ditimpa musibah,” katanya berucap pada pengurniaan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Saga Ceria, Mentakab di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga Adun Lanchang.

Pada kejadian Isnin lalu itu, sebanyak 166 rumah terjejas apabila dilanda ribut dan menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM186,000.

Pada istiadat semalam, Dato' Siti Nurhaliza Taruddin, Dato' Eizlan Yusof, 45 dan Dato' Maria Menado dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato' Sri.

Turut menerima darjah kebesaran adalah pelakon asal Singapura, Adi Putra menerima Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' dan pereka fesyen, Jovian Mandangie dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Dato'.

Tengku Abdullah berkata, gesaannya itu bukan berniat untuk menyindir tetapi satu kenyataan kerana masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan pembelaan terutama yang dilanda musibah seperti ribut.

“Ramai di Pahang masih perlukan bantuan seperti moral dan kewangan...kebelakangan ini banyak musibah berlaku dan ini peluang untuk mereka berbakti kepada negeri yang memerlukan bantuan.

“Seperti bencana ribut yang berlaku di sini...mangsa memerlukan bantuan dari segi moral, bumbung, siling dan perabot...kadang kala mereka perlu rasa apa dilalui rakyat dilanda musibah,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor