Pages

Wednesday, October 25, 2017

[MARAN] USAHA TINGKAT PENGGUNAAN KOMPUTER USAHAWANITA DESA


Usaha tingkat penggunaan komputer usahawanita desa


Kerajaan sedia merangka program meningkatkan kemahiran penggunaan komputer kepada golongan ibu tunggal dan warga emas sebagai usaha menambahkan pengetahuan keusahawanan.

Exco Komunikasi Multi Media dan Pembangunan Keluarga dan Wanita Pahang, Dato' Shahaniza Samsuddin berkata, golongan ibu tunggal dan warga emas digalakkan meningkatkan pengetahuan komputer yang disediakan di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) sejajar dengan perkembangan masa kini.

Menurutnya, berdasarkan kajian mendapati terdapat ramai golongan ibu tunggal dan warga emas terbabit dengan kegiatan perniagaan secara kecil-kecilan atau sederhana terutama penjualan barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau yang diusahakan orang lain untuk menambah pendapatan.

“Untuk memastikan jumlah pendapatan mereka meningkat wajarlah menggunakan perkhidmatan jualan secara atas talian agar banyak produk boleh dipasarkan secara meluas keseluruh negara.

"Seiring perkembangan semasa yang memperlihatkan jaringan media sosial dan internet sebagai wadah meningkatkan pendapatan di bidang perniagaan.

“Adalah lebih mudah memasarkan barangan secara atas talian kerana kebanyakan ahli perniagaan sudah menggunakan kaedah berkenaan sejak kebelakangan ini untuk menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kerja baik pulih masjid serta mendengar taklimat perkembangan PI1M di Felda Jengka 4, di sini kelmarin.

Beliau berkata, NGO digalakkan mengambil inisiatif menyediakan latihan kepada golongan ibu tunggal warga emas untuk meningkatkan tahap penguasaan komputer.

Menurutnya, kerajaan pula berhasat menyediakan PI1M di setiap tanah rancangan dan perkampong untuk memberi kemudahan golongan ini mempelajari internet.

"Pegawai terlatih di PI1M sedia memberikan kursus jangka panjang dan pendek mengajar golongan ibu tunggal dan warga emas untuk menguasai komputer terutama digunakan dalam perniagaan.

"Pusat Internet 1 Malaysia Felda Jengka 4 telah tiga bulan beroperasi. Penduduk yang sudah mendaftar menjadi ahli pun sudah ada 300 lebih. Harap lebih ramai lagi yang mendaftar dan memanfaatkan kemudahan ini," katanya.

Beliau yang juga Adun Kuala Sentul berkata, kerajaan akan ubah suai dan membaik pulih masjid yang uzur atau perlu dibesarkan akibat jemaah yang bertambah.

Katanya, setakat ini masjid Felda Jengka 4 diperuntukan RM400,000 bagi membaikpulih selain masjid di Kampung Kuala Sentul dan Felda Jengka 2 sedang dalam proses ubah suai.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor