Pages

Saturday, October 14, 2017

‘BUKTIKAN DAKWAAN 165,000 PENGUNDI HANTU'


Mohammad Nizar


Ipoh - Harapan Perak digesa membuktikan dakwaan 165,000 pengundi hantu setiap satu berdasarkan kepada erti sebenar terma itu secepat mungkin.

Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya mengalu-alukan pembangkang yang mahu melaporkan hal berkenaan ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis.

Menurutnya, jika tidak mampu buktikan satu per satu, mereka yang sepatutnya meminta maaf kerana menipu.

"Saya tahu mereka minat angka dan memanipulasikan angka tetapi jangan tipu diri sendiri. Politik di Malaysia hendaklah dilakukan secara matang bukan semberono dan tuduh menuduh

"Jangan tuduh BN buat apa yang mereka buat. Saya tahu apa yang mereka buat," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Bangunan Umno Negeri semalam.

Beliau yakin pembangkang akan membuktikan angka-angka itu dalam waktu terdekat kerana pada sidang media mereka tempoh hari, mereka telah menyediakan kotak-kotak berisi maklumat pengundi hantu.

Dalam laporan kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberi tempoh 24 jam untuk BN Perak mengemukakan maaf kepada Harapan atas tuduhan cuba membangkitkan isu tidak berasas dan hanya meraih simpati rakyat.

Mereka turut menyatakan kesediaan untuk membawa semua bukti berhubung wujudnya komplot pengundi hantu melibatkan BN di negeri ini untuk siasatan polis.

Saarani berkata, pembangkang sedar percaturan yang dilakukan mereka salah dan kini sedang mencipta alasan sebagai persediaan jika kalah dalam PRU14.

"Pada PRU13, mereka kata BN bawa 40,000 pengundi dari Bangladesh tetapi sampai sekarang tidak dibuktikan di mana mereka berada.

"Itulah perangai dan tingkah laku pembangkang yang sentiasa menimbulkan pelbagai persepsi kepada rakyat," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor