Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meraikan 370 orang Sahabat Maktab yang telah membantu jemaah haji, khususnya semasa Operasi Masyair yang lalu.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua sahabat ini telah memberikan komitmen tinggi serta banyak membantu dalam proses pengendalian haji.
“Setiap tahun Tabung Haji sentiasa mencari ruang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah dan salah satunya adalah memperkenalkan program Sahabat Maktab ini.
“Nyata, Sahabat Maktab telah menunjukkan kesungguhan luar biasa dan tampil untuk menjadi sukarelawan. Ini adalah gandingan mantap antara Sahabat Maktab dengan Petugas Tabung Haji,” katanya dalam Majlis Penghargaan Sahabat Maktab di ibu pejabat Tabung Haji di bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini semalam.
Turut hadir timbalan-timbalan ketua rombongan haji, pengarah-pengarah operasi dan pengurus-pengurus maktab.
Kata Syed Saleh, program Sahabat Maktab (kebajikan) ini mula diperkenalkan pada tahun 1431 Hijrah dan diikuti dengan Sahabat Maktab Ibadah dan Medik.
Tambah Syed Saleh, melalui maklum balas daripada semua pengurus maktab, mereka menyatakan Sahabat Maktab amat berdedikasi dan sentiasa sedia memberikan khidmat pada bila-bila masa.
Sahabat Maktab merupakan mereka dalam kalangan jemaah haji yang mempunyai pelbagai latar belakang perkhidmatan termasuk daripada anggota keselamatan, perubatan, agama dan pelbagai bidang profesional lain.
Mereka membantu Petugas Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji terutama semasa Operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor