Tindakan pimpinan kanan pembangkang terutama bekas Perdana Menteri mencela UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengggunakan pendekatan agama Islam disifatkan sebagai tidak bertamadun.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata situasi berkenaan tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sedih apabila mereka mencaci penyokong parti pemerintah dengan bahasa yang tidak sewajarnya.
“Misalnya, Mat Sabu menghukum agamawan yang bersama kerajaan sebagai berfahaman celaka, manakala Tun Dr Mahathir mengeluarkan fatwa berdosa mengundi PAS dan BN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menggelarkan orang UMNO dan BN sebagai kaum jahiliah,” katanya dalam catatan blognya hari ini.
Presiden PPBM, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam ucapanya ketika perasmian Konvensyen PAN Johor, manakala Presiden PAN, Mohamad Sabu dalam Konvensyen PAN Selangor yang berlaku pada 9 Sept lalu.
Pada 11 Sept, Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir mengeluarkan fatwa berkenaan menerusi catatan di blognya.
Tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu sepatutnya hanya mengkritik dasar serta kelemahan kerajaan daripada mempergunakan pendekatan berkenaan.
“Kenapa perlu mereka berkata sedemikian kepada saudara seagama hanya kerana perbezaan dan persaingan politik?
“Saya merasakan mereka berbuat sedemikian kerana hendak menggembirakan parti dalam pakatan pembangkang iaitu DAP yang dikatakanboleh membawa mereka ke Putrajaya,” kata bekas Speaker DUN Sabah itu.
Tambah beliau, perilaku itu disifatkan sebagai semaian politik kebencian yang semakin kerap berlaku menjelang pilihanraya umum.
“Yang rakyat dambakan ialah politik matang, politik menggunakan isu dan strategi kempen yang beradab, politik yang menyentuh keperluan rakyat dan perjuangan untuk rakyat.
“Yakinlah, andaian sedemikian salah. Jalan untuk ke Putrajaya tidak sesuai dengan strategi kempen sebegitu,” kata Salleh lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor