Kisah ibu bapa bersama anak-anak yang masih kecil menaiki motosikal untuk perjalanan jarak jauh bukan cerita baru kerana kisah seumpama ini pernah tular dan mendapat perhatian pengguna jalan raya lain yang bersimpati.
Di kala zaman kebanyakan rakyat negara ini mampu memiliki kereta untuk kegunaan harian, sudah tentu ia agak asing bagi mereka yang memilih untuk menaiki motosikal terutama jika pemboncengnya adalah anak-anak kecil.
Kisah yang sama turut dilalui seorang penduduk Kuala Rompin, Mohd Afif Asnu, 28, dan anak sulungnya, Nur Umairah, 5, yang menaiki motosikal ke Putrajaya dengan jarak hampir 300 kilometer (km) serta memakan masa hampir enam jam.
Orang dewasa pun sudah pasti mengalami lenguh badan menunggang dengan perjalanan sejauh itu, namun Umairah tetap kuat dan mematuhi disiplin yang ditetapkan bapanya sebagai langkah-langkah keselamatan.
Mohd Afif bangga memiliki anak perempuan seperti Nur Umairah yang boleh berdikari, berdisiplin dan kuat semangat.
Kesanggupan anak kecil itu adalah demi bertemu ibunya, Nur Liana Abd Aziz, 28, dan adiknya, Muhammad Umair, 2, yang kini tinggal di Putrajaya selepas ibunya melaporkan diri di tempat kerja baharu pada 11 September lalu.
Menurut Mohd Afif, mereka membuat permohonan pertukaran bersama namun tidak sangka isterinya lulus terlebih dahulu dan terpaksa memulakan episod perkahwinan jarak jauh.
“Saya mohon tukar untuk sambung belajar program ijazah di pusat pengajian sekitar Selangor atau Kuala Lumpur, jika kerja di sana lebih mudah untuk ulang-alik kerana jarak lebih dekat.
“Selepas bincang dengan isteri, dia nak ikut sekali dan kami sama-sama mohon. Tak sangka permohonan dia lulus dulu, jadi sekarang dia jaga anak kedua saya, anak sulung saya jaga sebab bersekolah Pasti di sini,” katanya.
Katanya, isteri dan anak keduanya yang masih menyusu badan itu kini tinggal bersama kakak iparnya dan menghantar kepada pengasuh pada waktu bekerja.
Pasangan suami isteri yang bekerja sebagai kakitangan awam itu agak terkejut dengan kelulusan pertukaran sekali gus menyukarkan proses untuk menukar anak sulungnya belajar di tempat baru.
“Saya dah tanya dan proses pertukaran Umairah agak sukar kerana sekarang pun dah hujung tahun. Jadi kami ambil keputusan dia habiskan belajar di sini dulu, tahun depan baru pindah tinggal bersama ibunya serta sekolah di sana,” katanya.
Berkongsi kisah perjalanan bersama anak perempuannya itu, Mohd Afif mengakui Umairah memang minat membonceng motosikal bersamanya untuk bersiar-siar di sekitar Kuala Rompin.
Bapa ini berkata, walaupun memiliki kereta, pilihan menunggang motosikal ke Putrajaya Khamis lalu itu adalah demi menghiburkan Umairah setelah dia bersetuju mematuhi syarat ditetapkan.
Katanya, selepas kerja mereka bertolak sekitar jam 5 petang sebelum singgah berehat di Masjid Bandar Satelit dan anaknya sempat mengalas perut dengan bekal biskut yang dibawa.
“Saya beri syarat dia kena disiplin dan dengar arahan. Saya minta dia beri isyarat kalau ngantuk atau letih, contoh dia tepuk belakang dan saya akan berhenti untuk berehat.
“Langkah keselamatan lain, saya juga pakaikan dia tali keselamatan kanak-kanak. Jadi dia sentiasa melekat di belakang saya ketika di atas motor,” katanya.
Nur Umairah memakai baju hujan ketika melalui jalan Keratong - Bahau yang tiba-tiba hujan sebelum meneruskan perjalanan.
Mereka juga sekali lagi berhenti di simpang Palong untuk menanggalkan baju hujan selepas hujan turun ketika melalui jalan Keratong-Bahau sebelum berhenti berehat di sebuah stesen minyak di pekan Kuala Pilah.
“Kami teruskan perjalanan melalui Lebuhraya Lekas dan keluar melalui susur keluar Nilai sebelum motor mengalami sedikit kerosakan di bahagian brek.
“Nasib baik ada dua pemuda berhenti dan bantu baiki, kemudian teruskan perjalanan dalam jam 10.30 malam kami sampai di Putrajaya, ketika itu saya puas hati melihat kegembiraan Umairah dapat bertemu ibu serta adiknya,” katanya yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150i.
Dalam pada itu, Mohd Afif turut mengakui tidak sangka semangat Umairah begitu kuat hingga dia mampu bertahan menaiki motosikal pergi dan balik sejauh hampir 600km.
Katanya, pada mulanya dia kurang yakin dan bersedia untuk patah balik sekiranya anaknya itu tidak mampu bertahan.
“Hasil pengalaman ini, saya tahu Umairah seorang yang berdisiplin dan bersemangat kuat serta seorang yang boleh berdikari. Mungkin juga dia kuat kerana rasa sayang kepada ibu dan adiknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor