PEKAN – Teruja apabila dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menziarahinya, bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Kampung Baru Salong, Fatimah Mahidin, bersiap sejak awal pagi untuk menyambut kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.
Mengenakan pakaian rasmi Wanita UMNO – baju kurung putih dan kain serta tudung merah – veteran UMNO berusia 76 tahun itu bergenang air mata dan terharu apabila melihat kelibat Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, muncul di depan pintu rumahnya.
Najib meluangkan masa kira-kira 15 minit beramah mesra dan bertanyakan khabar Fatimah serta keluarganya selain turut menyampaikan sumbangan berbentuk lampin, susu dan wang tunai kepada Fatimah yang menghidap darah tinggi dan masalah saraf kaki.
Anak perempuan Fatimah, Alawiyah Saman, 53, memberitahu pemberita, ibunya begitu gembira selepas mendapat tahu bahawa perdana menteri akan berkunjung ke rumah mereka.
“Ibu saya bangun awal pagi dan pakai pakaian rasmi Wanita UMNO sebab katanya ‘bapak’ (Najib) nak datang. Pakaian itu masih disimpan rapi walaupun beliau tidak lagi aktif dalam parti sebab keuzurannya.
“Kami semua turut berkongsi rasa terharu dengan kunjungan perdana menteri ke rumah kami apatah lagi ibu dan arwah ayah, Saman Ter, 78, yang meninggal dunia sepuluh tahun lalu akibat barah paru-baru merupakan pengasas UMNO di kampung (Salong) ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor