Pages

Sunday, September 10, 2017

PELAJAR OKU CEMERLANG STAM DAPAT LAPTOP KHAS MB





Pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang catat pencapaian luar biasa Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016, Ahmad Faiz Ibrahim menerima komputer riba hadiah Menteri Besar Terengganu.

Ia disumbangkan terus oleh Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sendiri di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Terengganu pada Sabtu. Turut menemaninya ialah bapa dan ibunya, Ibrahim Yunus dan Zarina Mohd. Kasim.

Pemberian laptop tersebut kepada penuntut tahun pertama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu dilakukan menteri besar berkenaan dalam program Minggu Sukan Seberang Takir ‘Cikgu Razif Bersama Komuniti’.

Ahmad Faiz, 19, bekas pelajar Maahad Ar Rahmah Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan dan berasal dari Kampung Demit dekat dengan sekolahnya itu memperoleh keputusan 10A Mumtaz dalam STAM tahun lalu.

Hadiah istimewa tersebut bagi memudahkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Usuluddin di UniSZA itu dapat mengikuti pengajian secara atas talian terus dari rumahnya tanpa perlu sentiasa hadir ke kelas.

Anak sulung daripada lima beradik itu menghidap penyakit saraf Cerebral Palsy sejak lahir sehingga menyukarkan pergerakan dan terpaksa bergantung kira-kira 90 peratus bantuan tenaga orang lain termasuk ibu bapanya.

Kementerian Pendidikan Tinggi memberi keistimewaan kepada Ahmad Faiz yang menunjukkan keupayaan fizikal yang amat terbatas untuk tidak melemahkannya bagi mencapai kecemerlangan akademik di universiti.

Sehubungan itu, menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh meminta pihak UniSZA memperkasakan platform aplikasi pembelajaran dalam talian atau Massive Open Online Courses (MOOC).


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor