Kuala Lumpur - PAS hari ini memberi amaran kepada DAP supaya tidak berlakon menyokong Islam kerana tindakan dan perlakuan parti sosialis itu jelas menunjukkan penentangan terhadap agama rasmi Persekutuan tersebut.
Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata perjuangan DAP untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular bercanggah dengan prinsip Islam dalam pemerintahan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, sejak 2015, DAP kembali menunjukkan penentangan terhadap usaha menegakkan undang-undang jenayah Islam di Kelantan, malah turut menentang keras usaha memperkasa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang hanya membabitkan umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengundi Islam supaya tidak terpedaya dengan kata-kata manis DAP semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Kegagalan UMNO/Barisan Nasional (BN) menguruskan negara secara berhemah berasaskan prinsip Islam menjadi modal DAP untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Namun, percayalah Islam tidak akan selamat di bawah pemerintahan DAP," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu menyokong Islam dalam Perlembagaan.
Mohd Khairuddin turut mempertikaikan tindakan DAP menentang keras pengislaman anak di bawah umur 18 tahun oleh ibu atau bapa yang memeluk Islam yang termaktub dalam Perlembagaan selaras keputusan fatwa peringkat kebangsaan dan negeri jika benar parti itu menyokong Islam.
"Ketika pindaan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) berlangsung di Dewan Rakyat lalu sangat ketara yang dipertikaikan oleh Ahli Parlimen DAP ialah kenapa tidak dimasukkan cadangan pindaan 88a yang membolehkan agama anak ditentukan secara bersama oleh ibu dan bapa sedangkan mereka tahu cadangan pindaan itu bercanggah dengan Perlembagaan dan bercanggah dengan Islam?," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor